Hafizul yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiba di Kompleks Mahkamah di sini pagi ini untuk pendakwaan.
Mengikut sistem mahkamah, pertuduhan ke atas lelaki itu, Hafizul Hawari, 38, akan dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azrol Abdullah, jam 9 pagi.
Pengurus syarikat pelancongan berkenaan yang bergari dan dikawal ketat oleh polis dilihat masuk kawasan mahkamah pada jam 8.15 pagi.
Hafizul memakai baju hitam dan pelitup muka kelihatan tenang ketika dirakam foto dan video oleh sekumpulan pengamal media yang berkumpul sejak jam 7.45 pagi.
Semalam, Hafizul yang juga pengurus syarikat pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atastujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.
Hafizul mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.
Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik individu lain yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Honda Civic putih menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan.
Kesalahan itu membawa kepada denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Semua kesalahan dilakukan dalam kereta Honda Civic di pekarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu, jam 2 petang, pada 15 April lalu.
Hafizul kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes tujuh pertuduhan di Mahkamah Kota Bharu.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi 15 April lalu, Hafizul dipercayai melepaskan dua das tembakan terhadap isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA.
Satu das tembakan tersasar manakala satu lagi terkena perut pengawal peribadi isterinya.