Digital Nasional Bhd (DNB) dengan tegas menafikan dakwaan bertindak tidak telus dalam menjalankan operasi dalaman serta menolak sebarang gambaran negatif terhadap amalan tadbir urus dan perolehannya.
Dalam satu kenyataan, DNB menekankan bahawa proses tender dan perolehan pihaknya adalah mengikut struktur piawaian tadbir urus dan amalan terbaik yang paling ketat.
DNB menyatakan demikian bagi menjelaskan beberapa dakwaan mengelirukan yang dibuat oleh Channel News Asia (CNA) dalam satu artikel bertajuk ‘Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator’ yang diterbitkan pada 19 April dan kemudiannya dilaporkan oleh beberapa media lain.
Menurut kenyataan itu, artikel berkenaan mendakwa DNB tidak telus dalam menjalankan operasi dalamannya, berkaitan dengan pemberian kontrak kepada vendor pihak ketiga, khususnya untuk peralatan rangkaian 5G Ericsson, serta perolehan perisian dan ‘platform perkhidmatan awan yang berpotensi menguntungkan’.
“DNB sentiasa terbuka dan telus dalam pemberian tender dan kontrak, dan perkara ini telah beberapa kali disebut secara terperinci di Parlimen dan dilaporkan di media. DNB juga telah berulang kali menyangkal dakwaan yang sama,” tegasnya.
DNB ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan pada 2021 di bawah Kementerian Kewangan dan kini sebagai pemilik tunggal rangkaian spektrum 5G, malah akan beroperasi tidak lama lagi bersama rangkaian kedua yang masih belum dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, DNB memaklumkan bahawa pemberian kontrak peralatan rangkaian 5G membabitkan proses penilaian yang ketat, dengan Ericsson memperoleh skor tertinggi dalam semua prasyarat yang dikenakan.
“Proses tender yang berlangsung itu telah distrukturkan oleh firma perkhidmatan profesional global yang bebas, selain membabitkan kira-kira 50 pakar tempatan dan antarabangsa dari 10 negara yang berpengalaman dalam pelaksanaan rangkaian 5G.
“Proses ini juga telah disemak semula oleh pelbagai pihak, termasuk semasa kajian semula dasar rangkaian 5G oleh Jemaah Menteri pada 2022 dan 2023,” tambahnya.
Menurut DNB, proses berkaitan Perjanjian Langganan Saham (SSA) yang ditandatangani dengan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) pula masih berterusan sehingga kini.
“Kami dengan tegas menafikan dakwaan yang dibuat sebaliknya tetapi tidak dapat memberi komen spesifik berkenaan syarat-syarat tertentu atas sebab kerahsiaan,” tegasnya.
Memandangkan kedudukan DNB sebagai syarikat awam yang berkhidmat untuk kepentingan umum, sebarang laporan yang diterbitkan seharusnya disahkan dan berdasarkan maklumat yang tepat, jelasnya.
DNB menekankan bahawa pihaknya kekal fokus dalam terus melaksanakan sebuah rangkaian 5G terbaik dan paling dipercayai di dunia dengan kadar dipercepatkan dan pada kos yang ditetapkan.
Pihaknya juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan penggunaan 5G dalam kalangan industri, perusahaan dan masyarakat awam, sekali gus membantu mempercepat transformasi digital negara, tambah DNB.