Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) tidak mempunyai kuasa untuk merumuskan skor kreditnya sendiri.
Hakim Akhtar Tahir berkata agensi penarafan kredit itu hanya diberi kuasa menjadi “penyimpan maklumat kredit” yang boleh diakses pelanggannya.
Beliau memutuskan bahawa tiada peruntukan dalam Akta Agensi Penerbitan Kredit 2010 (CRAA) yang memberikan kuasa kepada CTOS untuk merumuskan skor kredit atau mencipta kriteria atau peratus untuk merumuskan skor kreditnya sendiri.
Beliau berkata CTOS, selain menyediakan maklumat kredit, telah merumuskan skor kredit berdasarkan kriteria seperti sejarah pembayaran, jumlah hutang, tempoh sejarah kredit, campuran kredit, dan kredit baru, setiap satu dengan peratusan yang ditetapkan menentukan status seseorang.
“Peranan utama CTOS adalah mengumpul, merekod, menyimpan, dan menyimpan maklumat yang diterima. Syarikat ini juga diberi kuasa untuk menyebarkan maklumat kepada pelanggannya, termasuk institusi kewangan.
“Dengan merumuskan skor kredit, CTOS telah melangkaui fungsi undang-undangnya,” katanya
Akhtar menyatakan perkara itu dalam penghakimannya sebelum memerintahkan CTOS membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Suriati Mohd Yusof, yang memiliki sebuah resort di Pulau Perhentian atas penarafan kredit yang tidak tepat.
Ahli perniagaan wanita berusia 43 tahun itu menyaman CTOS atas pelanggaran hak fidusiari sehingga mengakibatkan kerugian reputasi, kerugian peribadi dan juga kerugian perniagaan.
Pada Mei 2019, permohonan pinjaman kereta Suriati ditolak kerana laporan negatif daripada defendan (CTOS).
Selepas siasatan lanjut, beliau mendapati bahawa data yang dikumpul dan disimpan oleh defendan adalah tidak tepat, menyebabkan penarafan negatif palsu untuknya.
Selain daripada maklumat yang tidak tepat, beliau mengatakan defendan memberikan skor kredit rendah menyebabkan kehilangan keyakinan daripada institusi kewangan.
Plaintif mendapati bahawa skor kredit itu berdasarkan kriteria tidak tepat yang tidak dikemaskini.
Namun, CTOS berhujah bahawa semua maklumat yang diberikan adalah dengan persetujuan plaintif dan mana-mana maklumat diberikan oleh defendan adalah tertakluk kepada pengesahan pihak yang memohon laporan.
Mahkamah memutuskan bahawa CRAA telah diwujudkan untuk memberi kuasa kepada agensi kredit seperti defendan untuk menyediakan maklumat kredit yang tepat untuk memudahkan agensi kewangan dalam meluluskan dan menyalurkan bantuan kewangan kepada pemohon.
“Maklumat yang tepat yang diberikan oleh defendan adalah penting dalam membuat keputusan oleh institusi kewangan. Oleh itu, defendan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan maklumat kredit yang tepat bukan sahaja kepada institusi kewangan tetapi juga kepada individu yang berkaitan dengan maklumat tersebut.
“Plaintif telah membawa bukti bahawa defendan telah diberitahu bahawa maklumat terhadapnya tidak tepat. Bukti dalam kes ini menunjukkan bahawa defendan memilih untuk mengabaikan komunikasi dari plaintif dan terus mengendalikan maklumat tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya defendan boleh lakukan adalah sama ada menangguhkan maklumat tersebut sementara menunggu pengesahan atau memberitahu pelanggan atau pemohon bahawa pengesahan sedang berlangsung.
“Dengan memilih untuk bersikap acuh tak acuh walaupun selepas diberitahu oleh plaintif, defendan jelas telah melanggar tugas keperluan ke arah plaintif.”
Akhtar berkata, mahkamah telah membataskan ganti rugi yang diberikan bagi kerugian peribadi kerana reputasi plaintif serta hubungannya dengan suaminya telah rosak akibat kecuaian dan pelanggaran tugas fidusiari defendan.
Bukan kali pertama kalah kes mahkamah
Ini bukanlah kesalahan CTOS kali pertama kerana pada 15 Julai 2011 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan CTOS membayar gantirugi RM200,000 kepada seorang bekas eksekutif kanan Petronas kerana memberi maklumat kredit yang tidak tepat kepada Affin Bank Bhd dan Bumiputera Commerce Bhd bahawa beliau adalah seorang muflis.
Berikutan maklumat itu, bekas pegawai bernama Shafie itu gagal mendapatkan pinjaman untuk membeli sebuah apartmen walaupun beberapa kali menegaskan bahawa beliau bukan muflis seperti yang dinyatakan.
Kejatuhan nilai saham
Kali ini berlaku ketika CTOS sebagai syarikat senarai awam dikenali CTOS Digital Berhad, keputusan Mahkamah Tinggi menyebabkan saham CTOS Digital Bhd jatuh sebanyak 16 peratus ke paras terendah dalam 20 bulan hari ini, selepas memutuskan bahawa agensi pelaporan kredit itu tidak diberi kuasa secara sah untuk merumuskan skor kredit.
Kaunter syarikat itu merosot kepada RM1.22, terendah sejak Julai 2022, dalam jumlah dagangan yang agak tinggi di Bursa Malaysia.
Pada 12 Mac saham CTOS diniagakan pada RM1.27, susut 12 peratus dan mencatatkan penurunan terbesar dalam satu hari sejak penyenaraiannya pada Julai 2021, selepas 28.9 juta saham bertukar tangan.
Suatu precedent case tercipta, risiko perniagaan CTOS kelihatan semakin parah dengan kemungkinan kesan serta-merta menjadi cabaran kepada model perniagaan syarikat itu, dengan tindakan undang-undang yang sama boleh diambil dalam masa terdekat ini kemungkinan kes-kes serupa.
Mungkin lebih banyak kes pelanggaran hak fudusiari sehingga mengakibatkan kerugian reputasi, kerugian peribadi dan juga kerugian perniagaan yang tidak mahu menyaman CTOS kerana bimbang kalah di mahkamah, tempoh perbincaraan panjang selain faktor kos.
Bagaimanapun CTOS Digital Bhd yakin meneruskan perkhidmatannya memandangkan mahkamah tinggi tidak menghalang CTOS terus menyediakan perkhidmatan skor kredit walaupun ia memutuskan minggu ini bahawa anak syarikatnya tidak diberi kuasa secara sah untuk merumus skor kredit.
CTOS dalam siding medianya pada selasa berkata akan mencabar mkeputusan mahkamah, dan menegaskan bahawa Akta Laporan Kredit 2010 membenarkan ia menyediakan perkhidmatan sedemikian.
Ia juga berkata telah berhubung dengan Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit (PPK) dan bahawa pengawal selia telah menunjukkan bahawa tidak ada keperluan untuk semakan lesennya pada masa ini berikutan keputusan mahkamah.
Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit (PPK) MOF setidaknya memberi amaran atau respon kepada CTOS kerana telah disahkan di mahkamah tidak mempunyai kuasa memberi skor rating. Mengapa PPK berdiam diri? Dah kawtim ke? Untung CTOS berjuta-juta setiap tahun selagi PPK MOF tak tegur selagi itu kes ini akan berulang kali.
CTOS menjelaskan mereka telah memenangi 12 kes pada masa lalu dan yakin syarikat itu berada dalam kedudukan yang baik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
CTOS katanya mempunyai lima lagi kes seumpama itu belum selesai. Agaknya selepas satu kes mereka kalah maka 5 ini akan menang? atau muncul lebih ramai menyaman CTOS.
Kenanga Research syarikat berkaitan pelaburan dan pembrokeran saham berkata CTOS buat masa ini dijangka beroperasi seperti biasa. CTOS nampak yang mereka selamat sekalipun melakukan kesilapan.
Jualan pendek saham CTOS digantung oleh Bursa
Semalam (12 Mac) Bursa Malaysia Securities Bhd telah menggantung jualan pendek untuk CTOS Digital Bhd berikutan penurunan ketara dalam harga sahamnya, jatuh lebih 15%.
Agensi pelaporan kredit itu mencapai had ke bawah, susut 30 sen, atau 20.69% kepada RM1.15 pada tengah hari, menjadikannya paling rugi di Bursa Malaysia. Ia adalah kaunter kedua paling banyak didagangkan dengan 134.22 juta saham selesai.
“Jualan pendek di bawah jualan pendek intraday (IDSS) hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya, pada 13 Mac pada 08:30 pagi,” kata Bursa Malaysia.
Pemegang Saham CTOS
Rakyat Malaysia sangat kenal CTOS. CTOS dianggap syarikat yang mengambil keuntungan dari kesusahan orang lain. Sekalipun Bank Negara mempunyai Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit, untuk mengeluarkan laporan kredit individu yang nak buat pinjaman tetapi CTOS juga diiktiraf oleh institusi kewangan.
Syarikat CTOS Data Systems Sdn Bhd yang diasaskan 1992 ini terus mencatat keuntungan daripada perniagaan laporan kredit individu sehingga tersenarai di Bursa Malaysia tahun 2021. CTOS Digital Bhd mencatatkan prestasi permulaan penyenaraian yang kukuh di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.50, iaitu premium 36.4 peratus atau 40 sen daripada harga terbitan RM1.10. Sewaktu dibuka, kaunter itu menyaksikan 13.69 juta saham bertukar tangan.
Penyenaraian agensi pelaporan kredit itu menerima permintaan runcit terbesar bagi tawaran awam permulaan (IPO) sejak 2013, menerima permohonan bernilai RM1.38 bilion dengan kadar terlebih langgan sebanyak 27.6 kali daripada awam-runcit.
Hari ini hasil tahunan CTOS sejak 2018 terus meningkat sehingga RM194 juta tahun 2022 di mana pelanggan terbesarnya lebih 80 peratus komersial bank, institusi kewangan dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS)
Jika disemak pemegang CTOS syarikat pelaburan daripada UK antara pemegang saham terbesarnya. Abrdn Holdings Limited (Aberdeen) dan Inodes Limited/Creador.
2 Februari 2023 firma ekuiti persendirian Creador, melalui Inodes Ltd, telah menyelesaikan penempatan RM413 juta bagi 285 juta saham dalam CTOS Digital Bhd dengan penguasan lebih 14 peratus. Bagaimanapun pada April 2023 Inodes Ltd melupuskan semua saham-sahamnya.
CTOS sebelum itu melantik Eric Hamburger (timbalan ketua pegawai eksekutif) dilantik sebagai Group CEO CTOS untuk memperkukuh kumpulan. Bekas CEO Experian Colombia dan Mexico itu dilihat memainkan peranan penting dalam transformasi menjadi penyedia penyelesaian digital bukan saja dalam negara tetapi peringkat global. Pembelian syarikat Juris Technologies Sdn Bhd (JurisTech) merupakan kejayaannya.
Pengerusinya Dato’ Noorazman Abd Aziz sebelum ini Tan Sri Izzuddin Dali hanyalah ‘tempelan’. Pemain penting ialah Loh Kok Leong dan Wang Pau Min.
Saham GLC Kerajaan
30 pemegang saham utamanya GLC kerajaan mengukuhkan CTOS di mata pelabur iaitu Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) (Diperbadankan) , Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Urusharta Jamaah Sdn Bhd (MOF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
GLC kerajaan mungkin boleh menjadi penyelamat atau pembunuh kepada saham CTOS.
Apa game KWAP?
Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) membeli 27.4 juta saham dalam penjualan saham CTOS Digital Bhd semalam (13 Mac), memberikannya 5.807 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
KWAP membeli 28.81 juta saham dan kemudian menjual 1.37 juta saham semalam, meningkatkan kepentingan 1.53 peratus dalam syarikat itu kepada 5.807 peratus.
Apakah KWAP mahu menunjukkan sebagai pelabur untuk untung atau mahu menyelamatkan persepsi awam terhadap CTOS yang juga banyak GLC kerajaan sebagai pemegang sahamnya.
Pada akhir dagangan 13 Mac nampaknya harga saham CTOS Digital meningkat 2.4 peratus atau tiga sen (1.25) kepada RM1.28, memberikannya permodalan pasaran RM2.956 bilion.
Jika rakyat atau sesiapa yang pernah teraniaya oleh CTOS mereka mesti melawannya. Memastikan 5 kes akan dibicara di mahkamah terus menang untuk menunjukkan perniagaan CTOS tidak sah dan menganiaya rakyat.
Kejatuhan nilai saham syarikat CTOS jelas menunjukkan syarikat ini boleh ditumbangkan dengan persepsi media sehingga nilai sahamnya terus jatuh menjunam. Memandangkan pelanggan terbesarnya lebih 80 peratus komersial bank, institusi kewangan dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) maka menghancurkan kredibiliti CTOS melalui mahkamah dan persepsi awam adalah kuncinya.