4 Mac lalu Mahkamah Tinggi menolak permohonan Daim Zainuddin dan keluarganya untuk memulakan semakan kehakiman ke atas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas hal ehwal kewangan mereka.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata mahkamah tidak boleh semak tindakan pihak berkuasa menyiasat sesuatu.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2017, membabitkan cabaran seorang peguam, Latheefa Koya, terhadap SPRM kerana mengeluarkan notis meminta beliau tampil kepadanya.
“Oleh itu, SPRM dalam menjalankan kuasanya dalam perjalanan penyiasatan jenayah atau inkuiri, tidak terbuka kepada semakan kehakiman,” kata Wan Farid.
Hakim berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu berpandangan bahawa satu-satu cara untuk mencabar kuasa siasatan ialah membuktikan pegawai penyiasat bertindak secara tidak jujur.
Selepas meneliti afidavit Daim, Wan Farid tidak menemukan dakwaan atau bukti menunjukkan mala fide (niat jahat) di pihak pegawai penyiasat SPRM.
Di samping itu juga, Daim dan isterinya, Naimah Khalid, boleh membangkitkan isu mereka di hadapan mahkamah memandangkan mereka telah dituduh.
“Dakwaan bahawa siasatan dan pertuduhan terhadap mereka didorong oleh motif politik harus dikemukakan kepada mahkamah.
“Sebarang cubaan untuk membatalkan pendakwaan harus dibuat oleh pemohon di mahkamah jenayah dan bukannya oleh semakan kehakiman,” katanya.
Daim, yang juga bekas menteri kewangan, dan keluarganya pada Januari memohon semakan kehakiman dalam usaha untuk membatalkan siasatan SPRM ke atas hal ehwal mereka.
Mereka berkata mereka tidak tahu tentang sifat siasatan itu, kecuali laporan media mendakwa ia berkaitan Kertas Pandora.
Keluarga itu mendakwa siasatan bermula pada Februari 2023.
Daim dan keluarga juga berkata siasatan SPRM ke atas dakwaan pengubahan wang dan salah guna kuasa adalah tidak mengikut Perlembagaan.
Tommy Thomas dan Lai Wei Shiung tampil sebagai peguam untuk keluarga Daim, manakala Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin mewakili kerajaan dan SPRM.
Naimah tidak putus asa
Bagaimanapun selepas penolakan mahkamah itu Isteri Daim Zainuddin, Naimah Khalid mencabar lagi, mahu Mahkamah Tinggi menentukan kesahihan kesalahan yang didakwa terhadapnya, menurut pemfailan mahkamah.
Bulan lalu, Naimah mengaku tidak bersalah kerana gagal mematuhi notis pengisytiharan aset oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dia dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan di Pulau Pinang dan dua kenderaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Dis 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Dalam permohonan rujukannya, Naimah meminta Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada Seksyen 36(2) Akta SPRM mencabuli haknya dari menyabit salah diri sendiri dan haknya untuk tidak dipaksa mengemukakan bukti yang memberatkan dalam prosiding terhadap mana-mana orang.
Dia juga memohon penentuan mahkamah sama ada seksyen yang dipertikaikan itu melanggar haknya untuk perbicaraan yang adil dan hak perlembagaan lain.
Ketika disoal oleh agensi antirasuah beberapa minggu sebelum didakwa, Naimah mendakwa dia mempunyai hak untuk “enggan memberikan atau mendedahkan maklumat” dengan alasan ia mungkin menunjukkannya bersalah.
Mahkamah telah menetapkan 22 Mac untuk pengurusan kes.
Daim, bekas menteri kewangan, turut mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2).
Dia didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah.
Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional Bhd dan Amanah Saham Nasional serta tujuh kenderaan mewah.