Selepas Presiden PETRONAS bergelut daripada skandal rasuah PETROFAC, PETRONAS mengumumkan mencatat keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM23.9 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2023, merosot 22.4 peratus berbanding RM30.8 bilion dalam suku sama 2022.
Pendapatannya juga merosot 16.2 peratus kepada RM82.9 bilion pada suku dikaji berbanding RM98.9 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM77.2 bilion tempoh sama 2022, berikutan purata harga realisasi yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh kesan pertukaran asing yang menggalakkan.
Pendapatannya dalam tempoh itu adalah sebanyak RM251.9 bilion, merosot 6.5 peratus berbanding RM269.4 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, ia mencatatkan aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM76.0 bilion, sementara pelaburan modal berjumlah RM34.3 bilion, terutamanya dikaitkan dengan projek huluan dan gas.
Pelaburan modal domestik meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu terutamanya untuk pelaburan dalam Projek LNG Terapung Berhampiran Pesisir PETRONAS di Sabah dan Kemudahan Pembangunan Medan Gas Kasawari dan Penyerapan Karbon Dioksida (CO2) di Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata prestasi PETRONAS pada suku ketiga menunjukkan penyampaian fokus strategi peralihan tenaga, walaupun pasaran tenaga tidak menentu.
Beliau berkata, syarikat minyak dan gas nasional itu terus melabur semula dengan berdisiplin dalam perniagaan teras dan baharu, menggandakan usaha untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga untuk Malaysia dan pelanggannya di seluruh dunia.
“Sehingga kini, kami berada dalam landasan yang betul untuk mencapai penggunaan penuh 20 peratus pelaburan modal yang komited untuk mempergiatkan nyah karbon operasi dan pertumbuhan dalam perniagaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Muhammad Taufik berkata, ketika membina momentum berkenaan untuk menyampaikan nilai mampan jangka panjang sebagai syarikat minyak negara dan terus berkembang sebagai pemain tenaga global, PETRONAS kekal tekad untuk mengharungi perubahan kitaran dalam pasaran tenaga dengan komitmen yang teguh untuk tidak mengganggu dan berusaha menyediakan tenaga yang selamat, dihasilkan secara bertanggungjawab, kos dioptimumkan dan pelepasan berkurangan.
Dalam langkah yang sama, beliau berkata, PETRONAS akan terus meningkatkan usaha dalam memberi kembali kepada masyarakat dengan menumpukan kepada pelaburan termasuk memperkasakan pembangunan modal insan yang menyaksikan kejayaan menyiapkan MRSM Bintulu dan MRSM Ranau baru-baru ini.
“PETRONAS tidak akan goyah daripada komitmennya untuk memperkayakan kehidupan di sekeliling untuk masa depan yang mampan,” katanya.
Jumlah aset PETRONAS meningkat kepada RM752.2 bilion pada 30 September 2023 berbanding RM710.6 bilion pada 31 Disember 2022
Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM432.4 bilion pada 30 September 2023 berbanding RM401.6 bilion pada 31 Disember 2022, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham yang direkodkan dan kesan menggalakkan daripada pertukaran asing dalam tempoh itu, sebahagiannya diimbangi oleh dividen yang diisytiharkan kepada kerajaan.
Mengenai prospek prestasi kewangannya, PETRONAS berkata, ketidaktentuan harga minyak dan gas dijangka meningkat berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan dan kebimbangan yang meningkat terhadap keselamatan tenaga global di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Berdasarkan latar belakang itu, syarikat minyak dan gas nasional itu menjangkakan keuntungan yang lebih rendah berbanding tahun lalu.
Namun begitu, PETRONAS akan terus memperkukuh kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil mempergiatkan agenda pertumbuhan dan kelestariannya di Malaysia dan antarabangsa.