SKS Airways Sdn Bhd menegaskan pendirian bahawa kesihatan kewangannya kekal teguh, bertentangan dengan laporan yang disiarkan dan dilaporkan oleh media massa.
SKS Airways berkata pihaknya percaya ada individu memberikan maklumat yang salah kepada media dengan niat untuk memburukkan syarikat dan perniagaannya.
“Sebagai tindakan kepada dakwaan palsu ini, kami sedang mendapatkan pendapat undang-undang untuk mengeluarkan surat pemberhentian kepada organisasi media tertentu untuk kenyataan palsu dan tidak bertanggungjawab terhadap SKS Airways yang telah mencemarkan reputasi dan kredibiliti syarikat kami dalam pasaran.
“Kami berhak untuk mengambil tindakan yang perlu sekiranya mereka terus membuat atau mengulangi sebarang kenyataan fitnah dibuat terhadap SKS Airways,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
SKS Airways berkata pihaknya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu termasuk cybertrooper yang menyebarkan berita palsu di platform media sosial, serta telah mengenal pasti beberapa pihak dan akan meneruskan tindakan undang-undang sewajarnya.
“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami menekankan penglibatan yang berterusan dan tepat pada masanya dengan pihak berkepentingan kami dan oleh itu, kami mengalu-alukan pihak berkepentingan kami untuk menghubungi kami untuk mendapatkan maklumat rasmi dan terkini serta kemas kini berkaitan SKS Airways.
“SKS Airways komited kepada misi menyediakan pilihan alternatif kepada orang ramai dengan mengutamakan keselesaan dan kemudahan.
“Kami akan terus menjalankan perniagaan dengan standard perkhidmatan tertinggi dan profesional,” katanya.
SKS Airways memulakan penerbangan sulung ke Pulau Tioman dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 1 Mei tahun lalu.
SKS Airways adalah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penumpang dan sewaan, menumpukan kepada laluan yang tidak disediakan perkhidmatan atau kurang menerima perkhidmatan, melengkapi syarikat penerbangan serantau sedia ada.
Ia diberikan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) penuh oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 1 Januari 2022.
SKS Airways ditubuhkan pada 13 November 2017 dengan sahamnya dipegang ialah Dato’ Majid Manjit Abdullah, Sim See Kiong dan SKS Southern Sdn Bhd. Lembaga Pengarahnya ialah Sim See Kiong, Dato’ Haji Fahrul Rohman Hj Ahmad, Ng Pek Hung dan Dato’ Majid Manjit Abdullah.
Syarikat itu adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat SKS Group, yang diasaskan pada 1983 dengan perniagaan merentasi pembangunan hartanah, pegangan pelaburan, hospitaliti serta pembiayaan kredit di Malaysia dan Australia.
SKS Group diasaskan oleh Alan Sim See Kiong dan Kumpulan ini pernah menguasai MB World Group Berhad yang dinyah senarai pada September 2020.
SKS Airways menafikan syarikat mereka bermasalah kewangan namun laporan kewangan SKS Airways tahun 2022 jelas menunjukkan syarikat modal berbayar RM55 juta itu mencatatkan kerugian selepas cukai kira-kira RM20 juta.
BACA – SKS Airways rugi tidak mampu bayar pajakan pesawat RM3.9 bilion, Dzuleira CEO baharu letak jawatan
Pada 20 November, media SKS Airways berdepan masalah kewangan untuk membuat pembiayaan pajakan pesawat 10 pesawat Embraer E195-E2
Dua hari selepas Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dilantik, Dzuleira Abu Bakar melepaskan jawatannya.