Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Selepas mengorak langkah mendapat projek Pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) bernilai RM529.83 juta, kini Ibraco Berhad di bawah Pengarah Urusannya Datuk Chew Chiaw Han menerusi Ibraco Construction Sdn. Bhd. dengan kerjasama China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CRECM) dan Nanyang Tunnel Engineering Sdn Bhd (NYTE) meraih kontrak bernilai RM568.6 juta daripada Sarawak Metro Sdn Bhd (SMSB) bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Ibraco menerusi syarikat kerjasama itu akan terlibat dengan pembinaan Blue Line-Pakej 1 Dari Rembus ke Stutong untuk KUTS.
“Projek berkenaan dijangka siap pada 31 Disember 2023 bagi peringkat 1 dan 30 Jun bagi peringkat 1A,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, jumaat lalu (10 Nov)
Sarawak Metro anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak, merupakan pelaksana KUTS yang bertujuan mengubah Kuching menjadi sebuah bandar yang dinamik dan berdaya saing dengan penyediaan perkhidmatan mobiliti mesra pengguna melalui kawasan Greater Kuching dengan pengenalan Transit Pantas Autonomi (ART).
Fasa 1 KUTS ini akan melibatkan pembinaan dan operasi dua laluan – Laluan Samarahan (Laluan 1) dan Laluan Serian (Laluan 2). Laluan Samarahan bermula di Kota Samarahan dan menuju bahagian barat laut meliputi jarak 28.5 km, dengan perhentian akhir di stesen SM14 berhampiran Hikmah Exchange
Laluan Serian pula bermula di Batu 12 dan menghala ke bahagian utara sejauh 24.5 km dan perhentian akhir di Isthmus berhampiran Pusat Konvensyen Borneo. Kedua-dua laluan 1 dan 2 akan melalui stesen pertukaran di Simpang Tiga di mana ia dicadangkan dibina bersebelahan tempat letak kereta awam Wisma Persekutuan.
Sementara itu kumpulan Ibraco berkata, projek itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman luar.
Katanya, risiko yang berkaitan dengan projek adalah risiko operasi biasa yang akan dikurangkan melalui kawalan dalaman dan tadbir urus yang baik dalam prosedur operasi.
“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Ibraco sepanjang tempoh projek dan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham kumpulan,” katanya