18 pertuduhan pengubahan wang haram nampaknya pertuduhan kedua Wan Saiful Wan Jan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2,300,000 melalui 2 keping cek CIMB Bank Berhad milik akaun syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd ke akaun peribadi CIMB Islamic Bank Berhad bernombor 8600XXXXXX miliknya
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini dengan 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Tidak bersalah dan mohon dibicarakan (bagi pertuduhan berkenaan),” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM78,800 dari akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd miliknya bagi pembelian kenderaan Ford Ranger nombor pendaftaran JRF4922.
Pertuduhan kedua nampaknya lebih jelas apabila Wan Saiful didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2,300,000 melalui 2 keping cek CIMB Bank Berhad milik akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad bernombor 8600XXXXXX miliknya sendiri.
Bagi empat pertuduhan lain, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM3.9 juta menerusi tujuh cek milik syarikat sama yang dibayar kepada beberapa syarikat termasuk Jendela Timur Consultant, Duckling Management & Services dan Fendi Dilif Resources.
Bagi 12 pertuduhan lain, tertuduh sebagai Pengarah Syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.6 juta menerusi cek.
Ia dibayar kepada beberapa pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Chin Kang Hardware Jitra, Syed Jaafar Syed Abd Aziz, Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Akademi Gagasan Minda Merdeka dan Good Square Sdn Bhd.
Kesalahan dilakukan di cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di Taman Tunku, di sini antara 12 Ogos hingga 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dibaca dengan Seksyen 87(1)(a) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, mencadangkan jumlah dan syarat jaminan sama diguna pakai untuk pertuduhan kes dihadapi Wan Saiful di mahkamah berasingan sebelum ini.
“Tertuduh ada kes di satu lagi Mahkamah Sesyen, kami nak buat permohonan untuk pindahkan kes ini dengan kes predikat di mahkamah berkenaan.
“Ada dua pertuduhan di sana mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2001 pada 21 Februari lalu dan pengurusan kesnya pada 1 Disember ini.
“Kami mencadangkan jaminan predikat digunakan untuk kes ini iaitu RM400,000 dengan penjamin warga tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap dua bulan.
“Saya percaya peguam tertuduh tiada bantahan terhadap perkara ini,” katanya.
Susulan itu, peguam bela Wan Saiful, Amer Hamzah Arshad, mengesahkan tidak membantah apabila bersetuju jaminan sama digunakan untuk kes pengubahan wang haram yang akan dipindahkan itu.
Hakim kemudian membenarkan jaminan seperti dicadangkan pendakwaan dan kes dipindahkan ke mahkamah berasingan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh sama dengan pengurusan kes predikat berkenaan.
Sementara itu Wan Saiful Wan Jan mendakwa, 18 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya merupakan satu usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat menangani isu yang membelenggu rakyat terutama kos sara hidup. Bagaimanapun pertuduhan kedua jelas wang dari syarikatnya sendiri dimasukkan RM2.3 juta ke akaun peribadi CIMB Islamic Bank Berhadnya. Rakyat susah tetapi dia menerima RM2.3 juta dalam akaun sendiri.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Adam Radlan didakwa
Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan hari ini, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Kesalahan dilakukan di cawangan bank sama, antara 2 Disember 2021 hingga 22 Februari 2022 mengikut seksyen seperti kes pengubahan wang haram dihadapi Wan Saiful.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya sama, manakala Adam Radlan diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam.
Rozina kemudian membenarkan jaminan sama diguna pakai atas kes lain dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen berasingan sebelum ini iaitu RM420,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500,000.
Keesokannya, ahli perniagaan berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4.1 juta dan didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Februari lalu, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Semua pertuduhan berkenaan berkaitan projek Jana Wibawa.