Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran secara terbuka dan mengenakan denda RM15,000 ke atas Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik Holdings Bhd (dalam pembubaran), Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah.
Teguran dan denda ke atas Mohd Karim kerana melanggar perenggan 14.08(d) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).
Ia disebabkan kegagalannya memberi notis kepada setiausaha syarikat dalam tempoh satu hari pasaran penuh selepas melupuskan 107,963,930 saham dalam Serba Dinamik pada 9 Mei 2022 (pelupusan) bagi membolehkan kumpulan itu mengumumkan dengan segera notis berkenaan termasuk maklumat mengenai pelupusan seperti yang dikehendaki oleh perenggan 14.08(d)(i)-(iii) LR Utama.
Pelupusan hanya diumumkan pada 12 Ogos 2022.
Menurut perenggan 14.08(d) LR Utama, pengarah yang ingin berurus niaga dalam sekuriti tersenarai bagi penerbit tersenarainya sendiri (syarikat terjejas) dalam tempoh tertutup mesti mengemukakan notis mengenai urusan berkenaan (termasuk memperoleh atau melupuskan sekuriti atau sebarang kepentingan dalam sekuriti di bawah perenggan 14.02(b)(i) LR Utama) secara bertulis kepada setiausaha syarikat syarikat terjejas dalam tempoh 1 hari pasaran penuh selepas urus niaga berlaku.
“Dalam perenggan sama, syarikat terjejas mesti segera mengumumkan notis berkenaan kepada Bursa Malaysia,” kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.
Pengendali bursa tempatan itu berkata, syarikat yang terjejas mesti memasukkan perkara berikut dalam notis dan pengumuman iaitu tarikh urus niaga berlaku; balasan untuk urusan itu; dan bilangan sekuriti yang terlibat dalam urus niaga, dari segi mutlak serta sebagai peratusan daripada semua sekuriti terbitan kelas itu dalam syarikat terjejas.
“Perenggan 14.02(b)(i) LR Utama menetapkan bahawa ‘tempoh tertutup’ berhubung dengan penerbit tersenarai bermaksud tempoh yang bermula 30 hari kalendar sebelum tarikh jangkaan pengumuman sehingga tarikh pengumuman laporan suku tahunan kepada Bursa Malaysia,” katanya.
Bursa Malaysia berkata, penemuan pelanggaran dan pengenaan penalti ke atas Mohd Karim dibuat menurut perenggan 16.19(1)(b) LR Utama selepas proses yang sewajarnya selesai.
Katanya, ia dilakukan selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan perkara itu termasuk materialiti pelanggaran dan objektif Bab 14 (termasuk perenggan 14.08) LR Utama yang berfungsi untuk menggalakkan ketelusan dan kejelasan kepada pasaran serta memastikan bahawa pemegang saham dan pelabur dimaklumkan tentang semua urusan dalam sekuriti penerbit tersenarai oleh ‘orang dalam’ semasa dan di luar tempoh tertutup.
“Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran di atas dan mengingatkan Mohd Karim mengenai tanggungjawabnya untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat dan akauntabiliti yang sesuai kepada pemegang saham dan pelabur awam,” katanya.