Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54 Pengasas Syarikat Scity Group kroni Hamzah Zainudin bekas Menteri Dalam Negeri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2021.
Datuk Seri Sim Choo Thiam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Bagi pertuduhan pertama, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad syarikat berkait Widad Group pada Jun 2021.
Ia sebagai dorongan untuk memberi rasuah kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat itu meluluskan projek Rundingan Terus Pembinaan Pelabuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM) bernilai RM420 juta.
Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.
Semua empat pertuduhan berkenaan dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini.
Choo Tiam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili tiga peguam iaitu Low Wei Loke, Hannah Kam dan Kei Wei Lon.
Dalam hujah pendakwaan, Ahmad Akram memaklumkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah memutuskan membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM1 juta berserta syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 14 Jun depan.
Bagaimanapun Hamzah Zainudin menafikan hubungannya dengan Stephen Sim Choo Thiam dan Syed Abu Zafran Syed Ahmad sebagai pertuduhan untuk memalukan dirinya. Januari lalu sebuah portal mendedahkan skandal rasuah RM15 juta ini melibatkan orang kanan Hamzah Zainudin yang membantu Parti Pribumi Bersatu membeli bangunan pejabat mereka di Publika Kuala Lumpur