Anak kepada bekas menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, semalam atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.
Muhammad Faisal Hamzah, 39, didakwa bersama Azizul Abdul Halim, 55, kedua-duanya pengarah Rimba Merpati Sdn Bhd, iaitu pemegang lesen minyak masak borong.
Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.
Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan mengeluarkan invois palsu mengenai penjualan minyak itu kepada syarikat peruncit tempatan, Pasar Segar Din Maju yang menyalahi Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama.
Tertuduh selaku pemegang lesen borong juga didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 tan metrik.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang, di sini pada 11 Ogos 2022.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah mahu memberikan jaminan, dia memohon menetapkan satu nilai jaminan tinggi dengan mengambil kira jumlah pertuduhan.
Mohd Sophian berkata, kes itu membabitkan barang kawalan minyak masak yang mana ia adalah kes berkepentingan awam.
“Seperti semua maklum, kerajaan amat memberi penekanan terhadap makanan seperti minyak masak yang menjadi krisis di negara kita,” katanya.
Peguam Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu mahkamah tidak terpengaruh dengan jumlah pertuduhan terhadap tertuduh yang belum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah.
Katanya, wang jaminan tidak boleh bersifat berlebihan kerana boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan serta tidak mengikut prinsip undang-undang.
“Tertuduh juga telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat semasa siasatan dijalankan dan ini juga merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah.
“Tiada risiko untuk Muhammad Faisal melarikan diri kerana dia menetap di Ampang, Selangor bersama isteri yang sedang sarat mengandung serta tiga anak, manakala Azizul pula tidak lagi bekerja dan mempunyai 10 anak yang empat daripadanya masih bersekolah,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi setiap terduduh dan sebutan semula kes pada 7 Jun ini.
Hamzah pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara Julai 2015 hingga Mei 2018.
Ketika di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), Hamzah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.
KENAPA TIDAK DI SIASAT BAWAH AMLA..?ADAKAH KERAJAAN TAKUT DENGAN BAPANYA?