KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Pada tahap OPR semasa, bank pusat itu berkata, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ia berkata, selepas menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, ekonomi negara dijangka menjadi sederhana pada tahun 2023 berikutan ekonomi global yang lebih perlahan.
Justeru, katanya, MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa dasar monetari terhadap ekonomi.
“MPC terus berwaspada terhadap faktor kos yang boleh menjejaskan prospek inflasi, termasuk faktor yang disebabkan oleh perkembangan pasaran kewangan.
“Langkah seterusnya untuk mengembalikan keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan.
Pada mesyuarat pertama bagi 2023 pada Januari lalu, MPC BNM telah mengambil keputusan yang mengejutkan pasaran dengan mengekakalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.
OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Mengulas lanjut prestasi ekonomi negara, BNM berkata, pertumbuhan tahun ini akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri.
Ia berkata, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.
Katanya, ketibaan pelancong dijangka terus bertambah lantas menggiatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan.
“Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan. Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca daripada pelaksanaan projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini,” katanya.
Mengulas lanjut, BNM berkata, risiko prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca terutamanya daripada perkembangan global termasuk pertumbuhan sebenar yang lebih lemah daripada jangkaan atau keadaan kewangan global yang lebih ketat dan tidak menentu.
Ia berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 tetapi akan kekal tinggi berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.
Katanya, tahap tekanan inflasi yang meningkat akan terus dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada.
“Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global,” katanya.
Di peringkat global, BNM berkata, ekonomi global menunjukkan beberapa perkembangan positif berikutan pembukaan semula ekonomi China dan pertumbuhan sebenar yang lebih baik daripada jangkaan di ekonomi-ekonomi utama, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Walau bagaimanapun, ia berkata, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.
Jelasnya, inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Namun, katanya, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. Bagi menguruskan tekanan inflasi, beberapa bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah.
“Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.
“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara.