KUALA LUMPUR — Pergolakan politik di Perlis yang bermula sejak 2024 akhirnya memuncak dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletakkan jawatan baru-baru ini.
Perkembangan ini mengesahkan dakwaan berpanjangan bahawa kepimpinan Bersatu negeri, khususnya Abu Bakar Hamzah, telah lama berusaha mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Mohd Shukri, yang juga merupakan pemimpin PAS. Usaha tersebut dikatakan semakin agresif sejak tercetusnya isu penahanan anak kepada Mohd Shukri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kemudian digunakan sebagai tekanan politik untuk melemahkan kedudukan beliau.
Sumber politik Perlis menyifatkan konflik ini bukan sekadar isu peribadi atau pentadbiran, sebaliknya mencerminkan perebutan kuasa dalaman antara komponen Perikatan Nasional (PN), khususnya antara PAS dan BERSATU. Hubungan tegang PAS dengan Istana Perlis pula bukan perkara baharu, namun krisis kali ini dikatakan mencapai tahap paling serius apabila melibatkan perubahan sokongan dalam Dewan Undangan Negeri.
Kemuncak krisis berlaku apabila lima ADUN BERSATU dan tiga ADUN PAS didakwa menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli, sekali gus mencetuskan kebuntuan politik dan membuka laluan kepada pertukaran kepimpinan negeri. Langkah tersebut turut mencetuskan kritikan akar umbi yang melihatnya sebagai satu lagi episod “pengkhianatan politik”, selepas PAS sebelum ini dituduh mengkhianati UMNO dalam kerangka Muafakat Nasional, dan kini pula berdepan dakwaan dikhianati rakan sekutu sendiri, BERSATU, dalam Perikatan Nasional.
Pada hari pelantikan, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, dalam satu istiadat di Istana Perlis, Arau. Beliau menjadi Menteri Besar pertama daripada BERSATU dalam sejarah negeri itu.
Majlis tersebut turut dihadiri bekas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli, semua ADUN Perikatan Nasional, serta ADUN Pakatan Harapan Indera Kayangan, Gan Ay Ling. Turut hadir ialah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail, Speaker DUN Rus’ele Eizan dan Ketua Polis Perlis Datuk Mohammad Abdul Halim.
Peralihan kuasa ini sekali lagi menimbulkan persoalan besar mengenai kestabilan politik Perlis, keutuhan Perikatan Nasional, serta hala tuju sebenar kerjasama antara PAS dan BERSATU — sama ada berteraskan prinsip atau semata-mata percaturan kuasa.
Pergolakan ini pastinya akan berterusan berdasarkan reaksi pemimpin PAS yang tidak berpuas dengan BERSATU.
