
KNM Group Bhd berdepan risiko dinyahsenarai selepas Bursa Malaysia menolak cadangan pelan pemulihan (regularisation plan) yang dikemukakan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Pengeluar peralatan proses itu berkata dagangan sekuritinya di Pasaran Utama akan digantung bermula 13 Oktober.
Sekuriti syarikat itu akan dinyahsenarai pada 5 November kecuali rayuan terhadap penolakan pelan pemulihan dan nyahsenarai difailkan kepada Bursa Securities sebelum atau pada 2 November.
“Sekiranya syarikat mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, proses nyahsenarai sekuriti daripada senarai rasmi Bursa Securities pada 5 November akan ditangguhkan sehingga keputusan rayuan dibuat.
“Namun demikian, Bursa Securities tetap akan meneruskan penggantungan dagangan sekuriti syarikat pada 13 Oktober walaupun keputusan rayuan masih belum dimuktamadkan,” menurut kenyataan pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini.
KNM menyatakan bahawa selepas dinyahsenarai, syarikat akan terus beroperasi tetapi sebagai entiti yang tidak tersenarai.
Syarikat itu dimasukkan ke dalam status PN17 pada Oktober 2022 selepas juruaudit luaran menimbulkan ketidakpastian material mengenai keupayaannya untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan.
Pelan pemulihan KNM yang diumumkan pada Ogos lalu termasuk cadangan pelupusan Deutsche KNM GmbH, yang memiliki aset utama Borsig GmbH, dengan nilai €270 juta (RM1.3 bilion) bagi mengurangkan hutang.
Langkah lain termasuk penggabungan setiap empat saham kepada satu unit untuk mengecilkan asas saham, penyusunan semula kunci kira-kira, dan pengurangan modal saham kepada RM275.97 juta bagi mengimbangi kerugian terkumpul.
Saham KNM ditutup setengah sen lebih tinggi pada paras tiga sen pada Jumaat, berbanding 2.5 sen pada Khamis, dengan 842,400 saham bertukar tangan.