
KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh lebih 10 tahun, sekali gus memberi keyakinan tambahan terhadap kedudukan kewangan negara.
Setakat 29 Ogos 2025, rizab antarabangsa berjumlah AS$122.7 bilion, iaitu paras tertinggi sejak November 2014 (AS$125.7 bilion), menurut makluman BNM.
Bank pusat itu berkata paras semasa rizab mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan. Ia juga berada pada kadar 104% mengikut ukuran Penilaian Kecukupan Rizab (ARA) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
BNM menjelaskan rizab antarabangsa disimpan bagi dua tujuan utama – memastikan pasaran pertukaran asing beroperasi secara teratur, dan bertindak sebagai penampan jika berlaku kejutan imbangan pembayaran atau aliran modal keluar mendadak.
“Paras rizab semasa membuktikan kedudukan luaran Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan,” kata BNM.
Maklumat mengenai rizab antarabangsa disiarkan di laman sesawang BNM pada pertengahan dan penghujung setiap bulan, dengan butiran lebih terperinci diterbitkan pada penghujung bulan.