
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meraih kedudukan antara 10 terbaik dunia dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2024 untuk lapangan terbang yang menguruskan lebih 40 juta penumpang setiap tahun.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, KLIA mencapai skor hampir sempurna iaitu 4.99 daripada 5 diberikan Airports Council International (ACI), yang mengesahkan usaha dan komitmen berterusan KLIA ke arah kecemerlangan perkhidmatan dan kecekapan operasi.
ASQ berperanan sebagai penanda aras terkemuka, yang dipacu data untuk kecemerlangan sesebuah lapangan terbang, mengukur kepuasan penumpang merentas bidang utama seperti keselamatan, perkhidmatan, kemudahan dan aspek kebersihan terminal udara seluruh dunia.
“Pengiktirafan ACI itu mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan global terkemuka dengan beberapa elemen utama menyumbang kepada kejayaan KLIA, yang semuanya direka untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan penumpang,” kata MAHB dalam satu kenyataan.
Ini termasuk suasana mesra, ruang tempat duduk luas, stesen pengecasan dinaik taraf dan Wi-Fi pantas serta boleh dipercayai dengan penumpang juga menilai tinggi kebersihan KLIA yang luar biasa, terutamanya di bilik air yang meningkatkan lagi pengalaman perjalanan.
Selain itu, di luar kemudahan berkenaan pula jelas MAHB, kakitangan KLIA yang berdedikasi juga telah dipuji para penumpang kerana sikap kemesraan dan perhatian positif mereka, seterusnya mempamerkan layanan Malaysia yang terbaik sejajar dengan taraf antarabangsa.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kejayaan secara konsisten sejak 2022 telah berjaya menempatkan KLIA dalam senarai 10 lapangan terbang teratas ASQ dan sebagai bukti komitmen lapangan terbang tersebut untuk penambahbaikan yang berterusan.
“Prestasi kukuh ini mencerminkan tumpuan kami meningkatkan pengalaman lapangan terbang melalui penyelesaian inovatif dan kemudahan dipertingkatkan. Kami juga berterima kasih kepada komuniti KLIA yang berdedikasi dan pihak berkepentingan yang menjadi penggerak di sebalik kemajuan,” katanya.
Beliau menambah, dengan kemasukan pemegang saham baharu yang memberikan penekanan kuat terhadap kecemerlangan perkhidmatan, pihaknya berasa yakin usaha penambahbaikan akan meningkatkan lagi kedudukan KLIA dalam kedudukan global pada masa depan.
Sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, KLIA kata Mohd Izani, sedang bekerja keras melakukan perubahan penting untuk meningkatkan lagi pengalaman semua penumpang.
Ini tambah beliau, termasuk tempat duduk terminal yang diperluaskan, surau yang diubah suai lebih kemas, dan troli bagasi generasi akan datang serta sistem daftar masuk layan diri dan kiosk punggah masuk beg.
Penumpang juga boleh menantikan perkhidmatan tren yang dipertingkatkan, dan ciri mesra keluarga baharu seperti zon kanak-kanak taman permainan orang utan, kerusi roda, kereta sorong bayi, dinding warisan dan tempat letak kereta keluarga.
“Dengan tumpuan yang diperbaharui kepada inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan, KLIA komited untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu lapangan terbang terkemuka dunia,” kata Mohd Izani.