Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dinyahsenarai dari Pasaran Utama Bursa Malaysia kerana peratusan saham syarikat yang dimiliki oleh pelabur awam minimumnya kini kurang 25%.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata, kekurangan peratusan saham syarikat yang dimiliki pelabur awam itu akibat langsung daripada tawaran tersebut.
Kekurangan itu dijangka terus meningkat akibat penerimaan sah tambahan bawah tawaran berkenaan sehingga ia ditutup untuk penerimaan pada 5 petang, 12 Feb.
“Setakat 5 petang hari ini, jumlah saham MAHB yang dimiliki oleh pemberi tawaran dan pemberi tawaran bersama termasuk saham MAHB yang dipindahkan kepada pemberi tawaran tetapi masih menunggu penerimaan dokumen tawaran yang tertakluk kepada pengesahan, membentuk 95.11% daripada jumlah saham terbitan MAHB,” katanya.
Sementara itu, Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) serta pemegang sahamnya (konsortium) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kini akan mengambil langkah perlu untuk menyahsenarai MAHB daripada senarai rasmi Bursa Malaysia, dengan hari terakhir saham MAHB akan diniagakan secara awam adalah pada 19 Feb.
Selain itu, konsortium itu juga akan mengambil langkah perlu untuk mengambil alih secara wajib semua baki saham MAHB yang tidak dimilikinya selepas tempoh akhir tawaran ditutup mengikut Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“Konsortium berharap dapat bekerjasama rapat dengan MAHB bagi merealisasikan potensinya menjadi pengendali lapangan terbang bertaraf dunia yang kompetitif, cekap, komersial dan bertumpukan perkhidmatan.
“GDA mengakui MAHB memerlukan pelaburan dalam infrastrukturnya dan penambahbaikan dalam operasinya untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik selain menyokong pengembangan, yang kedua-duanya akan memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Konsortium itu juga percaya perubahan MAHB adalah yang terbaik untuk dilaksanakan sebagai syarikat persendirian, disokong oleh pelabur strategik dan kewangan dengan kepakaran teknikal antarabangsa.
“Ini akan membolehkan MAHB mengambil pendekatan jangka panjang dalam membuat keputusan, pelaburan modal dan penambahbaikan dalam rangkaian sambungan antara syarikat penerbangan serta perkhidmatan pelanggan,” kata GDA.
Ia juga menegaskan MAHB merupakan aset strategik Malaysia dan akan kekal dimiliki majoriti oleh pelabur Malaysia melalui UEM Group Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang bersama-sama memiliki 70% kepentingan dalam GDA.
Dalam kenyataan berasingan, AmInvestment Bank Bhd bagi pihak pemberi tawaran berkata, Bursa Securities akan menggantung dagangan sekuriti MAHB bermula 20 Feb, 2025, iaitu selepas tamatnya tempoh lima hari pasaran dari Tarikh Tutup Lanjutan Akhir 12 Feb.
Harga saham MAHB ditutup pada RM10.92 hari ini dengan 1.22 juta saham diniagakan.