Kutipan cukai adalah tanggungjawab bersama iaitu hasilnya adalah untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bukannya ‘rompakan’ oleh kerajaan, kata ahli ekonomi tersohor negara.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata kutipan cukai akan menjadi hasil kepada kerajaan, yang mana akan berbalik kepada pembangunan negara, sekali gus manfaatnya akan dinikmati semua.
Beliau berkata, purata cukai kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah sangat rendah dengan
dalam tempoh 2010 dan 2021 adalah sekitar 11.7 peratus, lebih rendah berbanding negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang mencatatkan sekitar 34.2 peratus.
Katanya, negara di Asia Pasifik seperti Jepun, Korea dan Australia pula mencatatkan purata sekitar 19.8 peratus, sementara negara Afrika sekitar 15.6 peratus dan Amerika Latin sekitar 21.7 peratus.
“Kutipan cukai kita, (berdasarkan) peratusan kepada KDNK sangat rendah. Saya amat berharap bahawa rakyat faham. Cukai itu bukanlah rompakan kerajaan.
“Cukai ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk menyumbang supaya negara kita dapat membangun dengan baik,” katanya pada sidang media khas Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Noor Azlan berkata, hasil cukai di negara ini mencatatkan aliran menurun sejak 2015 hingga 2020 dengan dari paras 14.1 peratus pada 2015 ke paras 10.9 peratus pada 2020.
Namun, beliau berkata, pada tahun lalu, hasil cukai Malaysia meningkat sedikit kepada 12.6 peratus berbanding 11.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Justeru, jelasnya, adalah penting untuk mempunyai hasil kutipan cukai yang tinggi bagi membolehkan kerajaan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan awam yang baik dan selesa untuk rakyat.
Noor Azlan berkata, kalau hendak meningkatkan hasil negara, bererti cukai harus ditingkatkan dan ia sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Beliau berkata, sebelum ini, negara pernah melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), iaitu kaedah percukaian yang lebih meluas, namun kini ia tidak diteruskan lagi.
Sebaliknya, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan dan diperluaskan skopnya serta pelbagai bentuk cukai baharu juga diperkenalkan.
Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, cukai
yang dipungut di negara ini masih antara terendah yakni 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 berbanding negara tetangga seperti Thailand (16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus).
Beliau berkata, bagi maksud menambah hasil dan meluaskan asas percukaian, maka SST akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam, dengan Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat.
Katanya, Cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avokado, sementara skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
“Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi 100 ribu ringgit yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025,” katanya.- Sumber BH