Sekali lagi syarikat taikun Tan Sri Dato’ Dr Tan Boon Hock, ITMAX System Bhd melalui Southmax Sdn Bhd (SSB) mendapat projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kali ini daripada Majlis Perbandaran Segamat (MPS) untuk mengendalikan 7,637 petak parkir pintar di sekitar daerah berkenaan.
Ogos lalu ITMAX System Bhd memperolehi RM539 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memasang sistem pengawasan video yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI) di seluruh bandar raya. September 2023 ITMAX memperoleh kontrak selama 15 tahun bernilai RM105.32 juta untuk penyediaan pengawasan video bagi Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ITMAX System berkata kontrak selama 15 tahun itu bermula dari 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2039 termasuk tempoh simulasi dari 1 Oktober 2024 hingga 31 Disember 2024.
“Kontrak ini akan dilaksanakan dengan model perkongsian hasil. SSB akan menerima 70 peratus dan MPS akan menerima 30 peratus daripada semua kutipan parkir termasuk parkir mengikut jam, parkir harian, parkir bulanan, pas musim, sewa parkir sementara dan denda parkir.
“SSB perlu menyediakan deposit jaminan bagi emolumen kakitangan dan anggaran pendapatan parkir di MPS selama enam bulan,” katanya.
Menurut ITMAX System, SSB bertanggungjawab ke atas kos pembangunan, pengurusan dan penyelenggaraan sistem parkir pintar serta peralatan dan papan tanda parkir.