Citaglobal Berhad syarikat yang dikuasai Tan Sri Norza memeterai perjanjian pelaburan atau term sheet yang mengikat dengan Tree Technologies Sdn Bhd (TTSB) berkaitan usaha sama untuk membangunkan sebidang tanah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan sebagai taman perindustrian mesra alam sekitar.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata, tanah industri pajakan yang dimiliki Tree Technologies itu berkeluasan 999,521 meter persegi atau kira-kira 247 ekar (100 hektar).
Katanya, usaha sama yang dicadangkan itu masing-masing melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 65% untuk Citaglobal atau entiti yang dicalonkan dan 35% lagi untuk Tree Technologies.
Perjanjian tersebut juga merangkumi pilihan panggilan yang diberikan oleh Tree Technologies kepada Citaglobal untuk memperoleh tanah tersebut dengan harga RM90 juta, yang akan dibayar melalui kombinasi tunai dan penerbitan saham keutamaan boleh tukar kelas B baru dalam Citaglobal (ICPS-B) kepada Tree Technologies pada harga penerbitan 80 sen setiap ICPS-B.
Pilihan panggilan ini boleh dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan selepas pelaksanaan perjanjian pilihan yang akan dimeterai antara kedua-dua pihak, kata Citaglobal dalam pemakluman berkenaan yang tidak menyatakan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek taman industri yang dicadangkan.
Kedua-dua Citaglobal dan Tree Technologies mempunyai masa 60 hari dari tarikh perjanjian atau helaian terma ini untuk memeterai perjanjian definitif berkaitan dengan cadangan tersebut.
Citaglobal juga menegaskan bahawa cadangan tersebut merupakan transaksi pihak berkepentingan kerana pengerusi eksekutif, presiden, dan pemegang saham utama Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, juga merupakan satu-satunya pengarah dan pemegang saham tunggal TIZA Global Sdn Bhd, yang merupakan pemegang saham utama Citaglobal dan juga pemegang saham terbesar Tree Technologies dengan pegangan sebanyak 65.5%. Norza juga merupakan pengarah tunggal Tree Technologies.
Menurut syarikat itu, usaha sama yang dicadangkan untuk taman industri mesra alam menyediakan peluang kepada Citaglobal dengan beberapa sinergi potensi yang menyokong keputusan strategik ini untuk memanfaatkan kehadiran East Coast Rail Link (ECRL) yang dijangka meningkatkan hubungan, aksesibiliti dan pertumbuhan ekonomi dengan kemungkinan peningkatan permintaan untuk ruang industri di Pahang.
April tahun 2023 Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dilaporkan memegang 60% kepentingan dalam Citaglobal Reneuco ECRL Energy Solution Sdn Bhd, sebuah konsortium yang ditubuhkan untuk membida projek pengeluar tenaga bebas (IPP) Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL). Reneuco Bhd memegang 40% kepentingan dalam Syarikat konsortium memperolehi kontrak projek ECRL IPP dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) anak syarikat milik Kementerian Kewangan. Konsortium itu telah dianugerahkan bersama Surat Niat (LOI) untuk menjadi IPP projek pengeluar tenaga bebas dan boleh diperbaharui untuk projek ECRL.
Selain itu, katanya, usaha sama yang dicadangkan membolehkan penjualan silang perkhidmatan dan teknologi, termasuk reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, perkhidmatan pembinaan, dan pembangunan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), bumbung hijau dan sistem pengumpulan air hujan.
“Dengan kerjasama terbaharu antara Shanghai SUS Environment Co., Ltd. dan Citaglobal, usaha sama yang dicadangkan bertujuan untuk memanfaatkan teknologi inovatif sisa buangan kepada tenaga yang fokus kepada menukar sisa industri dan organik menjadi tenaga berharga, sekali gus memajukan amalan hijau yang mampan.
“Pilihan yang dicadangkan untuk pengambilalihan tanah memberikan peluang kepada Syarikat untuk memiliki tanah (yang pilihan panggilan ini hanya akan dilaksanakan oleh Citaglobal atau entiti yang dicalonkan) selepas penilaian penuh dan kemungkinan pembangunan Taman Industri Mesra Alam yang dicadangkan melalui penerbitan ICPS-B tanpa perlu menanggung sebarang pengeluaran tunai atau perbelanjaan faedah oleh Citaglobal.
“Kumpulan boleh memanfaatkan potensi pertumbuhan rantau ini, menghasilkan pulangan yang mampan, dan mengukuhkan segmen pembangunan Kumpulan,” tambahnya.
Astramina Advisory Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengatur transaksi kepada Citaglobal untuk cadangan tersebut, serta penasihat kewangan yang dilantik kepada Tree Technologies.
Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria merupakan Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Bhd menguasai 16.5 peratus dalam Citaglobal. Mantan Yang Dipertuan Agong Sultan Pahang memiliki pegangan saham 37.69 juta atau 9.03% kepentingan dalam Citaglobal.
Tan Sri Norza Zakaria merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini kontroversi membawa ahli keluarga yang tiada kaitan dengan kontijen Malaysia ke Paris. Isu kouta khas itu menyebabkan keluarga Tan Sri Norza dikecam dan beliau menafikan menggunakan dana kerajaan untuk membawa keluarganya sebaliknya menggunakan dana sendiri. Kerana kontroversi Paris Norza meletak jawatan sebagai Presiden BAM.