Pemberian kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190.1 juta kepada HeiTech Padu Berhad bukan disebabkan kerana Datuk Farhash Wafa Salvador merupakan salah seorang pemilik saham syarikat itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan perkara ini sebagaimana apa yang didedahkan lebih awal oleh portal The Corporate Secret bahawa HeiTech Padu menang tender MySIKAP JPJ RM190juta sebelum Farhash & Sultan Kelantan beli saham HeiTech Padu lagi
Menurut Anthony Loke kontrak tersebut dianugerahkan kepada HeiTech Padu sebelum Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim membeli kepentingan dalam syarikat teknologi maklumat (IT) itu.
Katanya, perlu ditegaskan mengenai kronologi tender ini yang mana Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan memperaku tender kepada HeiTech Padu pada 24 November 2023 lagi selepas sistem tender terbuka ini dibuat.
Kemudian pada 2 Februari 2024, Kementerian Kewangan memberi kelulusan kepada perakuan tender ini sedangkan Farhash hanya membeli saham dalam HeiTech Padu pada 16 Mac 2024, kata Siew Fook.
“Kelulusan tender ini bukannya semalam tetapi dibuat pada 2 Februari lagi, cumanya seperti biasa surat setuju terima hanya dikeluarkan selepas beberapa proses dalaman.
“Tetapi keputusan daripada MoF telah dibuat pada 2 Februari 2024 dan Farhash hanya membeli saham sebanyak 15.9% dalam HeiTech Padu pada 16 Mac 2024.
“Maksudnya keputusan tender ini telah dibuat sebelum Datuk Farhash membeli saham dalam HeiTeh Padu. Ia tiada kena mengena selepas penglibatan beliau dalam syarikat tersebut,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya
Bagaimanapun semakan menunjukkan tender MySIKAP JPJ telah diputuskan 8 Februari 2024 dan paparan keputusan tender MOT / JPJ di laman myprocurement kerajaan pada 12 Mac 2024. Apapun tarikhnya ia jelas pada bulan februari 2024 lalu. Cuma Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan sebelum ini memperaku tender kepada HeiTech Padu pada 24 November 2023.
Mengikut pekelilling kerajaan tender bekalan dan perkhidmatan melebihi RM50 juta walaupun telah diperakukan oleh Lembaga Perolehan MOT tetapi memerlukan perakuan semula oleh MOF. Bagi tender kerja ialah kos RM150 juta perlu diperakukan MOF semula.
HeiTech Padu pada 15 April memfailkan kepada Bursa Malaysia mengenai perolehan kontrak bernilai RM190.01 juta daripada JPJ bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur ICT serta Sistem Informasi Kenderaan dan Pemandu (mySIKAP) di pusat data dan semua pejabat JPJ.
Pengumuman 15 April 2024 hanyalah pengumuman biasa Bursa Malaysia, bahawa HeiTech Padu menerima Surat Setuju Terima (SST) mengenai projek sistem MySIKAP di JPJ. Keputusan ini sepatutnya diumumkan oleh HeiTech Padu februari lalu
Paparan senarai projek HeiTech Padu dari tahun 2022 hingga 2024 jelas menunjukkan prestasi HeiTech Padu yang jelas banyak mendapat projek dalam kementerian dan agensi kerajaan tanpa perlu kelibat Farhash.
Adalah sangat jelas saham Datuk Farhash Wafa Salvador dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam Rosetta Partners Sdn Bhd tiada kaitan dengan perolehan projek JPJ bernilai RM190 ini.