Boustead Heavy Industries Corporation Bhd merekodkan kerugian bersih sebanyak RM21.55 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding keuntungan bersih RM15.19 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Hasil susut kepada RM141.76 juta daripada RM149.19 juta sebelumnya dengan hasil tahun semasa dijana terutamanya daripada kontrak kapal selam dan projek penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan pertahanan lain, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Keputusan daripada operasi pada tahun kewangan 2022 iaitu keuntungan sebanyak RM6 juta adalah lebih rendah berbanding keuntungan RM36 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan terutamanya elaun tinggi bagi jangkaan kerugian kredit RM32.2 juta (tahun kewangan 2021: RM9.6 juta).
“Selain itu, perbelanjaan operasi tinggi sebanyak RM27.6 juta (tahun kewangan 2021: RM20.4 juta) disebabkan terutamanya oleh kos penyusunan semula sebanyak RM3.4 juta pada 2022.
“Bagaimanapun, keuntungan daripada penjualan tanah Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sebanyak RM6.8 juta telah mengimbangi impak itu,” katanya.
Mengenai prospek masa depan, Boustead Heavy Industries berkata ia menyambut baik komitmen kerajaan untuk menyiapkan projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dan melindungi pertahanan dan keselamatan negara yang memberikan prospek yang baik kepada syarikat itu.
“Pada masa depan, kami berharap dapat memperoleh kontrak baharu kerajaan dan bergerak kehadapan dalam segmen komersial atas sokongan usaha pemasaran dan infrastruktur kami, modal insan yang berpengalaman dan rekod prestasi yang baik dalam menyiapkan projek MRO.
“Selain itu, kami akan terus memanfaatkan kekuatan kami sebagai satu daripada kontraktor pertahanan utama negara dengan terus berusaha mendapatkan kontrak berkaitan pertahanan di samping meneroka perniagaan baharu, terutamanya dalam segmen komersial.
“Ini sebahagian daripada usaha kami untuk memaksimumkan nilai pemegang saham untuk menjadi sebuah organisasi yang mampan dan lebih berdaya tahan sejajar dengan strategi Reinventing Boustead,” katanya.