Rugi bersih AS$689.0 juta tahun 2023, Goodyear syarikat tayar ikonik Amerika Syarikat, membuat keputusan untuk menutup operasi kemudahannya di Shah Alam.
Saham syarikat itu baru-baru ini menjunam selepas laporan kewangan tahun penuh 2023 dikeluarkan yang menunjukkan pendapatan Goodyear turun 3.6 peratus kepada AS$20.1 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Kerugian bersih sebanyak AS$689.0 juta, turun sebanyak 441 peratus daripada keuntungan AS$202.0 juta pada 2022.
Penutupan Goodyear sudah tentu memberi kesan kepada lebih kurang 550 kakitangannya.
Presiden Goodyear bagi Asia Pasifik, Nathaniel Madarang berkata, langkah itu adalah seiring dengan program transformasi kumpulan, Goodyear Forward dalam mengoptimumkan portfolio dan kehadirannya di peringkat global.
Program termasuk tindakan khusus untuk memberikan pengurangan kos tahunan sebanyak AS$1.0 bilion menjelang 2025, memastikan kumpulan kekal berdaya saing dan menjadi peneraju industri.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Goodyear telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu untuk menutup kilang pembuatan kami di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun 2024. Penutupan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun.
“Seperti mana-mana langkah penutupan kemudahan, akan ada kesan berkaitan dan dalam kes ini, sekitar 550 jawatan dalam operasi Malaysia akan terjejas. Goodyear komited untuk melayan semua pihak yang terbabit dengan hormat dan penuh ketelusan semasa proses ini.
“Keputusan penutupan itu tidak dibuat dengan mudah, tetapi ia perlu dilaksanakan bagi memajukan kepentingan jangka masa panjang kedua perniagaan dan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Goodyear telah memulakan perniagaannya di Malaysia sejak 1929 dengan kemudahannya menjadi antara kilang terawal yang dibina di Shah Alam, dirasmikan pada 18 Mei 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.
Kilang itu juga membekalkan tayar untuk kereta nasional pertama Malaysia iaitu Proton Saga pada 1985 serta turut menjadi kilang pertama Goodyear yang menerima pensijilan ISO 9002 pada 1992.
Goodyear menawarkan tayar di bawah jenama Goodyear, serta jenama Dunlop dan Kelly.
Syarikat ini terus menjadi peneraju pasaran pembuatan tayar dan ia adalah jenama pilihan oleh Pengilang Peralatan Asal Malaysia.
Setelah memenuhi standard kualiti tinggi mereka, tayar Goodyear telah dipilih sebagai tayar standard untuk kenderaan penumpang dan rekreasi untuk jenama tempatan – Proton, Perodua dan Naza serta pengeluar terkemuka di dunia seperti Honda, Hyundai, Volkswagen, dan banyak lagi untuk bergabung dengan Goodyear.
Bagaimanapun dunia perniagaan berubah, persaingan, pengurangan kos dan tenaga kerja murah mempengaruhi industri tayar di negara ini.
Goodyear tutup kilang di Eropah
Goodyear tidak hanya menutup kilang di Malaysia tetapi hal yang sama turut dilakukan pengeluar tayar antarabangsa itu ke atas beberapa kilangnya di Eropah.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang diambil Goodyear.
“Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayar di Jerman, melibatkan 1,750 pekerja dan sebuah kilang tayar di United Kingdom (UK).
Ini bermakna bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas.
Sambil menzahirkan simpati kepada pekerja Goodyear Malaysia susulan penutupan kilang di Shah Alam, beliau berkata, cabaran sekarang ialah untuk memastikan lebih banyak pelaburan masuk ke Malaysia daripada pelaburan keluar.
Pelaburan baharu
Baru-baru ini kerajaan pengumuman pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, yang tertinggi dalam sejarah, merupakan petanda keyakinan pelabur kepada ekonomi Malaysia.
“Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 pekerjaan.
“Dalam sektor pembuatan sahaja, 63%, daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.
“Ini menunjukkan keyakinan yang kukuh daripada syarikat-syarikat ini terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia,” katanya.
Berhubung nasib 550 pekerja Goodyear Malaysia yang hilang kerja, Tengku Zafrul berkata, kebajikan warga kilang tayar itu adalah keutamaan kementeriannya.
“Goodyear telah memberi jaminan akan beri pampasan lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah undang-undang.
“Syarikat juga sedang bekerjasama dengan Proton dan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai.