Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 29 Januari (Isnin)
“Peguam saya dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin 29 Jan atas kesalahan bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan pengisytiharan aset,” katanya dalam kenyataan.
Daim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil kenyataannya jumaat lalu.
Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan Daim “berkemungkinan besar” didakwa di mahkamah minggu depan.
Katanya, Daim dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis, memetik peguamnya.
Pada 24 Jan, Azam berkata SPRM mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim, walaupun ditangguhkan kerana beliau dimasukkan ke hospital.
SPRM berkata, siasatan terhadap Daim bermula pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, yang mengaitkan tokoh terkemuka Malaysia dengan kawasan perlindungan cukai luar pesisir.
Agensi antirasuah tersebut memanggil isteri Daim, Naimah Khalid dan anak-anak mereka, Amir dan Amin, untuk memberikan maklumat mengenai aset milik keluarga itu.
SYOR BACA – Na’imah Isteri Daim didakwa tidak isytihar aset SPRM
Daim dan keluarganya memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar siasatan itu, yang menurut mereka bercanggah dengan perlembagaan.
Pada 23 Jan lalu, Naimah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM yang mengkehendaki pengisytiharan aset seperti pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta dua kenderaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.