Pegawai Kanan polis Mohd Nazri Abdul Razak yang terbabit kes langgar sehingga menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok.
Peguam Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.
“Suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak yang kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie maut selepas dipercayai diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta yang melanggarnya.
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.
Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Ketua Polis Perak mengesahkan telah merakam keterangan 22 saksi untuk membantu siasatan. 14 saksi terdiri 13 pelajar dan orang awam yang semuanya dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah