Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyediakan beberapa dokumen untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan permohonan notis merah terhadap menantu bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan peguamnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata antara dokumen yang sedang dilengkapkan adalah draf pertuduhan kes berkenaan.
“Semua dokumen itu akan diserahkan kepada PDRM pada Isnin, depan.
“Berkaitan permohonan kepada INTERPOL, SPRM tidak boleh melakukan sendiri sebaliknya ia perlu melalui polis. Permohonan itu ialah berdasarkan kehendak-kehendak INTERPOL.
“Berkaitan dengan isu itu (permohonan notis merah) terdapat dokumen tertentu yang perlu kita bekalkan kepada PDRM. Ia akan dilakukan dengan segera dan tidak akan mengambil masa yang lama.
“Saya jangka penyerahan dokumen itu akan dibuat pada minggu hadapan, paling awal Isnin ini,” katanya
Lengkapkan dokumen INTERPOL
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ketika ini pihaknya diminta untuk melengkapkan maklumat yang diperlukan INTERPOL sebelum notis merah itu dapat dikeluarkan.
Beberapa perkara teknikal sedang ditunggu untuk diperoleh daripada SPRM bagi pengumuman rasmi notis merah.
Media sebelum ini melaporkan SPRM memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin ke dalam senarai notis merah selepas gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.
Menantu Muhyiddin iaitu Datuk Adlan Berhan, 48, dan peguam, Mansoor Saat, 69, disyaki terbabit kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di Kementerian Dalam Negeri.
Kedua-dua mereka melarikan diri dari Malaysia ke Australia pada Mei lalu.
Datuk Adlan Berhan dan Mansoor Saat berstatus saksi
Dilaporkan Datuk Adlan Berhan dan peguam Mansoor Saat masih berstatus saksi dan bukan pesalah kes yang didakwa di mahkamah oleh itu ia menyukarkan kepada tuntutan Red Notice Interpol. Oleh itu SPRM perlu menyelesaikan isu teknikal seperti kehendak INTERPOL.
Notis Merah ialah permintaan kepada penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia untuk mencari dan menangkap sementara seseorang sementara menunggu ekstradisi, penyerahan diri atau tindakan undang-undang yang serupa. Ia adalah berdasarkan waran tangkap atau perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kehakiman di negara yang meminta. Negara anggota menggunakan undang-undang mereka sendiri dalam memutuskan sama ada untuk menangkap seseorang.
Ia mengandungi dua jenis maklumat utama:
- Maklumat untuk mengenal pasti orang yang dikehendaki, seperti nama mereka, tarikh lahir, kewarganegaraan, warna rambut dan mata, gambar dan cap jari jika ada.
- Maklumat yang berkaitan dengan jenayah yang mereka inginkan, yang biasanya boleh berupa pembunuhan, rogol, penderaan kanak-kanak atau rompakan bersenjata.
Notis Merah diterbitkan oleh INTERPOL atas permintaan negara ahli, dan mesti mematuhi Perlembagaan dan Peraturan INTERPOL
Great post.