Berjaya Corporation Bhd (BCorp) akan untuk melupuskan 100 peratus kepentingan dalam anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Enviro Holdings Sdn Bhd (BEnviro) kepada Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Naza) pada pertimbangan tunai RM700 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BCorp, Vivienne Cheng, berkata cadangan penjualan BEnviro akan menjana pulangan kewangan yang besar daripada pelaburannya dalam syarikat pengurusan sisa itu.
Katanya, keuntungan yang dijana akan meningkatkan aset bersih kumpulan dan hasil daripada penjualan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan BCorp.
“Setelah selesai cadangan pelupusan ini, kami akan terus meneroka projek baharu dengan BEnviro melalui syarikat usaha sama (JV Co) dan komited untuk kekal dan menyediakan perkhidmatan kerja kejuruteraan alam sekitar.
“Keputusan untuk melupuskan BEnviro dibuat selepas pertimbangan dan analisis teliti keadaan pasaran semasa dan matlamat strategik kumpulan BCorp.
“Cadangan pelupusan ini juga memberi peluang kepada BCorp untuk menjana hasil pelaburan dalam BEnviro dengan anggaran keuntungan kira-kira RM490.74 juta,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian jual beli di antara BCorp dan Naza.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Cheng bagi pihak BCorp, manakala Naza oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Ismee Ismail.
Yang turut hadir Pengasas dan Penasihat BCorp, Tan Sri Vincent Tan; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin.
Setelah selesai cadangan pelupusan, Berjaya Group dan BEnviro akan menubuhkan JV Co untuk bekerjasama dalam semua projek baharu termasuk tetapi tidak terhad kepada tapak pelupusan sanitari, alam sekitar dan pengurusan sisa di Malaysia dan luar negara.
Berjaya Group dan BEnviro masing-masing akan memiliki 49 peratus dan 51 peratus kepentingan dalam JV Co berkenaan.
Sementara itu SM Nasarudin berkata, melalui cadangan pengambilalihan itu, Naza akan memanfaatkan infrastruktur operasinya yang luas, kemajuan teknologi, dan tenaga kerja berbakat BEnviro dan tujuh anak syarikatnya.
Katanya, pihaknya juga menyasarkan untuk mengekalkan pengurusan dan bakat di dalam entiti berkenaan bagi kesinambungan perniagaan.
“Pengambilalihan ini memperkukuhkan dedikasi Naza ke arah pertumbuhan strategik jangkauan perniagaannya dengan menceburi penyediaan penyelesaian dan pengurusan sisa yang komprehensif dan mempromosi kelestarian alam sekitar,” katanya.
BEnviro terbabit dalam segmen perniagaan alam sekitar iaitu pengurusan sisa pepejal dengan tapak pelupusan sanitari kejuruteraan, pengurusan gas tapak pelupusan melalui penjanaan tenaga boleh diperbaharui daripada gas tapak pelupusan, serta pengurusan sisa terjadual melalui kitar semula, rawatan dan pelupusan.
Projek pengurusan sisa BEnviro termasuk Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar di Selangor.
Berjaya Group dan Kumpulan Naza mempunyai hubungan kekeluargaan apabila Pengasas dan Penasihat BCorp, Tan Sri Vincent Tan merupakan mentua kepada Timbalan Pengerusi Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin.
Ini bermakna Tan Sri Vincent Tan menjual pegangannya dalam BEnviro kepada menantunya bagi menubuhkan JV Co pembahagian 49 peratus dan 51 peratus kepentingan. Pertimbangan tunai RM700 juta sudah tentu memanfaatkan kenaikan harga saham Berjaya Group.
Syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza
Tahun 2020 Kumpulan Naza- Berjaya, berjaya menyingkirkan Spanco Sdn Bhd (Spanco) milik taikun Tan Sri Robert Tan Hua Choon [pernah dikaitkan Daim] tender khidmat penyelenggaraan tunggal kereta sewa untuk kegunaan rasmi kerajaan bersaing dengan Sime Darby, DRB-Hicom, Kumpulan Samling, Comos dan Go Auto.
Tender membekalkan 32 Vellfire dan lebih 12,500 kenderaan pejabat kerajaan bernilai kira-kira RM300 juta setahun itu akhirnya jatuh ke tangan syarikat konsortium Naza-Berjaya namun Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu ketika tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.
Pengasas dan Penasihat BCorp, Tan Sri Vincent Tan akan menyaman kerajaan berhubung projek ini.
“Mereka (kerajaan) telah menamatkan perkhidmatan kami dan memberikannya kepada Spanco. Kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).
“Kerajaan berfikiran bahawa Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami telah memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya.
“Anda akan mendengar lebih lanjut mengenai perkara ini selepas ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perjanjian penjualan saham di antara Berjaya Corporation Bhd dengan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di sini.