Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan pelantikan Khairul Azwan Harun sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, berkuat kuasa serta-merta.
HDC dalam satu kenyataan memaklumkan, Azwan atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro akan memainkan peranan penting dalam memajukan agenda Halal Malaysia ke tahap lebih tinggi, dengan memberi tumpuan di arena antarabangsa yang lebih kukuh.
Ini termasuk meningkatkan profil negara sebagai pengeluar dan pengeksport produk dan perkhidmatan halal terkemuka di dunia serta menjadi destinasi pilihan untuk perniagaan halal.
“Dengan pengalaman lebih dari 20 tahun dalam sektor korporat dan kerajaan, Azwan mempunyai rekod kepimpinan yang cemerlang. Portfolio beliau termasuk berkhidmat sebagai Senator di Dewan Negara dari 2016 hingga 2019.
“Beliau juga berkhidmat dalam Jawatankuasa Kerja Pembaharuan Senat, inisiatif dwipartisan yang dilaksanakan untuk menambah baik dan mengukuhkan Dewan Negara ke arah institusi demokrasi dengan mekanisme semak dan imbang yang berwibawa,” katanya.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) dan juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.
Azwan juga memegang jawatan Pengerusi Bebas VSolar Group Bhd dan mTouche Technology Bhd.
Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Cardiff University of Wales, United Kingdom dan berkhidmat dengan Ernst & Young Chartered Accountants sebagai Juruaudit dan Perunding Pemulihan Korporat.
Azwan Bro sering dikaitkan sebagai orang kanan dan kepercayaan Khairy Jamaluddin namun diberi peluang sebagai calon Barisan Nasional mewakili UMNO bertanding kerusi Parlimen P73 Pasir Salak, Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 sekalipun tewas dalam pilihanraya itu.
Anak kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Dato’ Ir. Haji Harun Ahmad Saruji ini tidak pernah terlepas dengan kontroversi panas termasuk penyebaran gambarnya dalam sebuah pusat hiburan pada tahun 2013.