Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasar untuk melaksanakan sistem e-invois kepada kumpulan pertama pembayar cukai secara mandatori, selewat-lewatnya 1 Jun tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata kumpulan pertama itu dijangka membabitkan syarikat besar yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta.
Beliau berkata, sehingga kini LHDN sedang dalam proses membangunkan infrastruktur membabitkan teknologi maklumat (IT) bagi memastikan sistem e-invois itu dapat dilaksanakan berdasarkan tempoh masa ditetapkan.
“Kita sudah ada tempoh masa bagi pelaksanaan ini. Sekarang kita sedang membangunkan infrastruktur kerana akan ada hubungan antara sistem perniagaan dengan LHDN, jika mereka keluarkan invois, akan ada rangkaian dengan LHDN dan sebagainya.
“Perancangan kita terhadap kumpulan pertama, bermula selewat-lewatnya 1 Jun 2024, tetapi kalau kita boleh siapkan struktur lebih awal, mungkin ia akan jadi projek perintis dulu, kita akan jadikan ia mandatori mengikut jadual pada Jun tahun depan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media LHDN, malam ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan plak penghargaan kepada 55 agensi media.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid
Media pada bulan lalu melaporkan, LHDN bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.
Pada masa sama, Mohd Nizom berkata, pemilihan syarikat besar sebagai kumpulan pertama susulan mereka sudah mempunyai sistem dalam organisasi masing-masing, sekali gus tidak perlu membangunkan sesuatu yang baharu bagi tujuan pelaksanaan e-invois.
“Apa yang kita akan buat ialah menghubungkan apa yang mereka ada dengan LHDN supaya maklumat itu boleh sampai.
“Invois yang disediakan syarikat akan melalui proses validasi di LHDN, kemudian baru kepada pelanggan…jadi dia dan pelanggan pun ada rangkaian secara dalam talian, tiada penghantaran invois secara manual atau e-mel,” katanya.
Beliau berkata, apabila sistem e-invois semakin stabil selepas pelaksanaan terhadap kumpulan pertama, peringkat kedua pula akan membabitkan syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM50 juta pada tahun seterusnya.
Katanya, LHDN juga akan mengadakan sesi taklimat bersama media berhubung pelaksanaan sistem terbabit bagi memudahkan maklumat disampaikan kepada golongan sasar.
Sementara itu, Mohd Nizom berkata, pihaknya menyasarkan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun ini, bayaran balik e-Filing, boleh dibuat seawal sehari selepas permohonan tuntutan dihantar.
“Pematuhan masa nyata ini kita harap boleh dipendekkan, sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan dan sekarang dua minggu…sekiranya semua berjalan baik, ia boleh dipercepatkan lagi.
“Kita nak letak tempoh masa mungkin susah, namun kita mengharapkan ia menjadi lebih cepat sebab kita mahu keyakinan orang bayar cukai tinggi….kita harapkan dalam dua hingga tiga tahun lagi,” katanya.
Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 melalui e-Filing sejak 1 Mac lalu.