KUALA LUMPUR: Pelantikan Dato’ Amrul Hisyam Alias sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Theta Edge Bhd membuka lembaran baharu dalam kepimpinan syarikat teknologi itu, hanya beberapa bulan selepas syarikat dikawal beliau, Stealth Solutions Sdn Bhd, muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar Theta Edge.
Perkembangan terbaharu itu turut mengembalikan perhatian kepada jaringan perniagaan Amrul rakan niaga utama Datuk Mohd Aminudin Mustapha, yang dikenali sebagai “Amin Botak”, serta hubungan perniagaan Aminudin dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Ia menjadi lebih menarik apabila Farhash sendiri pernah dilaporkan mempunyai kepentingan dalam Theta Edge pada 2024.
Dari pemegang saham terbesar kepada kerusi tertinggi pengurusan
Kedudukan Amrul dalam Theta Edge berubah dengan pantas sejak awal tahun ini.
Pada 2 Januari 2026, Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan keseluruhan 27.28 peratus kepentingannya, bersamaan kira-kira 32.18 juta saham Theta Edge, kepada Stealth Solutions melalui transaksi luar pasaran.
Theta Edge sendiri mengesahkan transaksi tersebut selesai pada 2 Januari dan Stealth Solutions kemudiannya menjadi pemegang saham tunggal terbesar dikawal oleh Amrul Hisyam bersama isterinya Norul Azwani Mohd Hanafi.
Walaupun harga transaksi tidak dinyatakan dalam pemakluman Bursa, data transaksi luar pasaran Bloomberg yang dilaporkan The Edge menunjukkan blok 32.18 juta saham itu bertukar tangan pada 90 sen sesaham, bersamaan kira-kira RM28.96 juta.
Penjualan tersebut turut menamatkan penglibatan TH sebagai pemegang saham Theta Edge selepas menjadi pemegang saham utama syarikat itu sejak 2000.
13 hari kemudian Amrul masuk kepimpinan Theta Edge
Tidak sampai dua minggu selepas Stealth mengambil alih blok saham TH, Amrul dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Theta Edge pada 15 Januari 2026.
Theta menyatakan Amrul ialah pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Stealth serta mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam industri infrastruktur telekomunikasi.
Stealth berkembang daripada syarikat berasaskan projek kepada kumpulan infrastruktur yang merangkumi pemerolehan tapak, pembangunan menara, pemilikan serta operasi rangkaian jangka panjang.
Kini kedudukan Amrul diperkukuhkan lagi apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan Theta Edge, meletakkan individu yang mengawal pemegang saham terbesar syarikat itu secara langsung di barisan hadapan pengurusan Theta.
Amrul–Amin Botak: Stealth Solutions beli 45 peratus pegangan Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB)
Tiada siapa berani menyentuh Amrul dan Amin Botak ketika Tan Sri Azam Baki sebagai KP SPRM walaupun ketika itu terdapat dakwaan rasuah RM80 juta ke akaun pengerusinya. Kes ditutup maka tidak hairan Amrul dan Amin Botak berjaya menguasai CTTSB.
Amin Botak mempunyai hubungan perniagaan dengan Farhash Wafa Salvador, melalui syarikat Bumi Suria Sdn Bhd dan Borneo Bumi serta struktur korporat yang dikaitkan dengan Borneo Bumi Sdn Bhd, yang pernah mendapat perhatian dalam kontroversi permohonan penerokaan mineral di Sabah. Kes itu juga ditutup oleh Tan Sri Azam Baki
Farhash sendiri pernah muncul dalam Theta Edge
Hubungan itu menjadi lebih menarik kerana Farhash bukan orang luar sepenuhnya kepada Theta Edge.
Pada 2024, Farhash dilaporkan mendedahkan bahawa beliau bersama seorang rakan perniagaan telah memperoleh 4.97 peratus kepentingan dalam Theta Edge pada 13 Mac 2024.
Farhash pada tempoh hampir sama turut muncul dalam HeiTech Padu Bhd melalui Rosetta Partners Sdn Bhd.
Maka, nama Farhash sudah berada dalam orbit korporat Theta Edge hampir dua tahun sebelum Stealth Solutions mengambil alih 27.28 peratus saham milik Tabung Haji.
Dari TH kepada Stealth, kemudian Amrul ke kerusi CEO
Kronologi keseluruhannya kini lebih jelas.

Jaringan Amin Botak–Farhash terus kukuh
Justeru, pelantikan Amrul bukan sekadar pertukaran MD dan CEO biasa. Ia adalah rangkaian Farhash Salvador sebagai ‘Kartel Korporat’. Bezanya mengawal Theta Edge melalui Dato’ Amrul Hisyam.
Setakat ini tiada rekod Farhash dalam pegangan Stealth Solutions namun sumber berkata Dato’ Amrul di belakang penglibatan Farhash dan Amin Botak dalam syarikat Bumi Suria untuk menguasai lesen mineral di Sabah. Ini menguatkan pemilikan Theta Edge di belakangnya pula adalah Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.

Pelantikan Amrul sebagai Pengarah Urusan dan CEO hanya satu cara menyingkirkan semua orang lama dalam Theta Edge kerana CEO sebelum ini merupakan orang rapat kepada pemegang saham terdahulu.
