KUALA LUMPUR — Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank milik syarikat baja tersenarai, Cropmate Bhd, menimbulkan persoalan besar — bukan sekadar mengenai siasatan itu sendiri, tetapi juga struktur kuasa dalam syarikat tersebut.
Cropmate mengesahkan bahawa pembekuan itu dibuat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), dan dimaklumkan kepada syarikat pada 24 April lalu. Syarikat menegaskan bahawa setakat ini tiada petunjuk salah laku melibatkan pengurusan atau kakitangan, dan operasi berjalan seperti biasa tanpa gangguan material.

Mengapa Pengubahan Wang Haram (AMLA)?
Pembekuan akaun bank melibatkan Cropmate Berhad di bawah Seksyen 44 AMLA sememangnya mencetus persoalan apakah kesalahan Cropmate, lembaga pengarah taua pihak ketiga yang menyebabkan tindakan undang-undang pengubahan wang haram digunakan dalam kes ini?
Dalam konteks ini, penglibatan SPRM memberi isyarat bahawa siasatan mungkin mempunyai kaitan dengan elemen rasuah atau salah guna kuasa, namun perlu difahami bahawa pembekuan akaun di bawah Seksyen 44 tidak semestinya bermaksud syarikat bersalah. Ia adalah langkah pencegahan untuk mengekang pergerakan dana sementara siasatan dijalankan — dan dalam banyak kes, ia juga boleh melibatkan pihak ketiga, rakan niaga atau transaksi tertentu, bukan semestinya pengurusan utama syarikat itu sendiri.
Apakah kes Cropmate ini sama dengan kes mafia korporat seperti Green Packet, Classita (Caely), Revenue Group, MMAG-MJets, GIIB Holding, Cuscapi dan NexG yang kini meletup melibatkan Victor Chin Boon Long?. Kes-kes ini melibatkan dakwaan seperti pengambilalihan agresif (corporate takeover), manipulasi saham, konflik dalaman lembaga, atau siasatan berskala besar termasuk pembekuan akaun dan sekatan perdagangan.
SIAPA CROPMATE ?
Cropmate Berhad ialah sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang beroperasi dalam sektor pertanian dengan fokus utama kepada pembuatan dan pengedaran baja. Syarikat ini menghasilkan pelbagai jenis baja termasuk baja sebatian dan baja khas yang digunakan secara meluas dalam industri perladangan serta pertanian komersial.

Melalui rantaian operasinya, Cropmate terlibat dalam proses formulasi, pengeluaran, pembungkusan dan pengedaran produk nutrien tanaman kepada pelanggan di seluruh negara. Dengan sokongan pengalaman industri yang panjang dalam kalangan pengurusan utamanya, syarikat ini memainkan peranan penting dalam menyokong produktiviti sektor agro, khususnya dalam memastikan bekalan baja yang konsisten dan berkualiti kepada pasaran tempatan.
Pemegang saham terbesar Cropmate ialah Lee Chin Yok, yang juga merupakan Pengarah Urusan syarikat tersebut.
Berdasarkan rekod pemegang saham setakat 26 Mac 2025, pegangan Lee Chin Yok melalui akaun nomini mencecah 215.1 juta saham atau 29.146%, dan jika digabungkan dengan kepentingan tidak langsung, pengaruhnya meningkat kepada lebih 56% pegangan efektif. Ini menjadikan beliau bukan sahaja pengurus operasi, tetapi juga individu paling dominan dalam kawalan ekuiti syarikat.

Lebih menarik, struktur pemilikan menunjukkan kumpulan teras — termasuk Lee Cheng Fei (13.631%), Lee Cheng Seng (13.218%) dan Lau Sam Siong (6.612%) — secara kolektif menguasai lebih 60% saham syarikat. Ini menggambarkan Cropmate merupakan sebuah syarikat yang dikawal rapat oleh kelompok dalaman, dengan ruang pengaruh luar yang sangat terhad.
Jika berlaku elemen rasuah, salahgunakuasa dan pengubahan wang haram adalah melibatkan Lee Chin Yok dan kumpulannya.
Bagaimanapun persoalan yang timbul bukan sekadar “akaun dibeku”, tetapi siapa sebenarnya pihak yang sedang disiasat dan bagaimana ia berkait dengan struktur pemilikan pemegang saham syarikat Cropmate?
Walaupun Cropmate menegaskan pembekuan akaun tidak menjejaskan operasi dan hanya melibatkan akaun tertentu yang tidak aktif, tindakan di bawah AMLA lazimnya berkait dengan siasatan aliran dana atau pihak ketiga. Syarikat turut memaklumkan bahawa siasatan berkenaan melibatkan pihak luar dan bukan pengurusan dalaman — satu penjelasan yang, setakat ini, masih umum dan belum diperincikan.
Siapa pemegang saham Institusi?
Sementara itu, penglibatan pelabur institusi dalam Cropmate kekal rendah. KWSP melalui Citigroup Nominees hanya memegang sekitar 1.335%, manakala dana lain seperti Maybank Trustees dan beberapa institusi kewangan masing-masing di bawah 1%. Secara keseluruhan, pegangan institusi dianggarkan sekitar 5% hingga 7% sahaja, memperlihatkan bahawa Cropmate bukanlah syarikat yang didorong oleh pelabur institusi, sebaliknya dikawal oleh individu tertentu.

Dengan struktur pegangan sebegini, sebarang isu melibatkan akaun, transaksi atau pihak berkaitan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada persepsi terhadap keseluruhan tadbir urus syarikat.
Adakah pembekuan akaun ini sekadar prosedur siasatan biasa — atau petunjuk kepada isu yang lebih besar di sebalik operasi dan rangkaian perniagaan Cropmate Bhd?
Namun, dalam dunia korporat, apabila pengurusan dan pemilikan berada dalam tangan individu yang sama, setiap siasatan — walaupun melibatkan pihak ketiga — tetap membawa implikasi yang jauh lebih luas.
Setakat ini SPRM masih belum mengeluarkan butiran lanjut, dan Cropmate pula menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama. Tidak seperti NGO IKRAM nampaknya semua butiran dan aset-aset disita didedahkan. Apakah ini akan berlaku kepada Cropmate?
Sama-sama menunggu pendedahan Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin Pengarah Kanan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
