Malaysia mencatat sejarah baharu dalam kutipan cukai apabila hasil cukai langsung negara mencecah RM203.99 bilion pada tahun 2025, sekali gus menembusi paras RM200 bilion buat kali pertama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti ketahanan sistem percukaian negara yang kekal kukuh meskipun berdepan tekanan ekonomi global, termasuk konflik geopolitik di Asia Barat. Menurut beliau, kutipan tersebut meningkat sebanyak RM19.19 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Majlis Sambutan Hari HASiL ke-30 Tahun 2026, di sini, hari ini. Katanya, prestasi kukuh ini mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam mempertingkat pematuhan cukai serta memperkukuh tadbir urus kewangan negara.
Menurut Anwar, pencapaian tersebut turut memberikan ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, selain memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memperuntukkan tambahan RM11.4 bilion bagi menyelesaikan bayaran balik cukai tertunggak kepada syarikat secara lebih sistematik dan telus, hasil daripada peningkatan kutipan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Abu Tariq Jamaluddin memaklumkan bahawa pelaksanaan e-Invois terus menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak RM1.275 bilion transaksi telah direkodkan setakat 20 April lalu, melibatkan lebih 224,000 perniagaan.
Beliau berkata, pelaksanaan e-Invois kini berada dalam Fasa 4 sejak 1 Januari lalu, dengan beberapa kelonggaran tambahan diberikan sehingga tahun 2027 bagi memastikan peralihan sistem berjalan lancar.
Selepas tiga dekad penubuhannya, HASiL kini memberi fokus kepada transformasi digital sistem percukaian melalui penggunaan analitik data dan teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan kutipan serta memperkukuh asas hasil negara.
