KUALA TERENGGANU – Seorang Exco PAS Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan yang didakwa melibatkan dua anak kandungnya.
Tertuduh yang memegang portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustafa dan memohon kes dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, memohon jaminan sebanyak RM50,000. Namun mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim yang turut memohon agar pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan tiada risiko melarikan diri. Peguam turut memaklumkan bahawa tertuduh adalah seorang ADUN serta mempunyai tanggungan dua isteri dan 13 anak.
Mahkamah menetapkan 12 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan pengurusan kes.
Terdahulu, puluhan penyokong hadir di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bagi memberi sokongan moral kepada tertuduh yang tiba kira-kira jam 8.13 pagi.
