KUALA LUMPUR: PPB Group Bhd milik taikun Malaysia Tan Sri Robert Kuok merekodkan kerugian bersih sebanyak RM2.73 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan bersih RM1.21 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Prestasi tersebut dipengaruhi terutamanya oleh pengiktirafan caj rosot nilai berjumlah RM4.17 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam Wilmar International Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PPB menjelaskan bahawa rosot nilai itu berpunca daripada perkembangan negatif di Indonesia dan China, termasuk penalti kawal selia, prosiding undang-undang yang masih berjalan melibatkan entiti Wilmar, peningkatan keperluan pematuhan serta ketidaktentuan makroekonomi di pasaran berkenaan.
Jun tahun lalu, industri minyak sawit serantau bergelora apabila pihak berkuasa Indonesia menyita aset bernilai 11.88 trilion rupiah (kira-kira RM3.6 bilion) serta mengarahkan Wilmar International Ltd meletakkan deposit keselamatan sebanyak AS$729 juta (sekitar RM3.1 bilion). Tindakan itu susulan dakwaan salah guna permit eksport minyak sawit mentah (CPO) ketika krisis bekalan domestik Indonesia pada 2021–2022. Perkembangan tersebut turut memberi kesan langsung kepada PPB Group Berhad di Malaysia, memandangkan hubung kait pegangan sahamnya dalam Wilmar. Lima anak syarikat Wilmar — Multimas Nabati Asahan, Multi Nabati Sulawesi, Sinar Alam Permai, Wilmar Bioenergi Indonesia dan PT Wilmar Nabati Indonesia — didakwa terlibat dalam memperoleh kuota eksport secara tidak sah semasa larangan eksport sawit, dengan kerugian kepada negara Indonesia dianggarkan mencecah 18.3 trilion rupiah (sekitar RM5.55 bilion).
PPB memiliki pegangan sebanyak 18.8 peratus dalam Wilmar, Sementara Syarikat Robert Kwok iaitu Kuok Brothers Sdn Bhd miliki pegangan majoriti 50.56% sekali gus menjadikannya pemegang saham tunggal terbesar syarikat agribisnes berpangkalan di Singapura itu, yang merupakan antara pengeluar minyak sawit global dan syarikat perniagaan tani terkemuka dunia.

Sementara itu dari segi hasil, kumpulan mencatatkan sedikit peningkatan perolehan kepada RM5.43 bilion, berbanding RM5.38 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, PPB merekodkan kerugian bersih sebanyak RM3.18 bilion, berbanding keuntungan bersih RM365 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Perolehan suku tersebut turut menurun kepada RM1.34 bilion daripada RM1.43 bilion sebelumnya.
Menyentuh prospek, syarikat menyatakan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat memberi sedikit kelegaan kos kepada pengimport bijirin. Namun, persekitaran operasi kekal mencabar dan kompetitif.
Menurut PPB, kumpulan akan terus memanfaatkan risikan pasaran serta pengalaman luas dalam pembelian bijirin bagi meningkatkan kecekapan kos dan memastikan bekalan yang stabil serta boleh dipercayai.
Usaha penambahbaikan operasi dan agenda kemampanan di semua kemudahan kekal menjadi keutamaan, dengan fokus terhadap peningkatan produktiviti dan daya tahan perniagaan. Kumpulan juga memberi penekanan kepada konsistensi kualiti produk melalui amalan jaminan kualiti yang kukuh, selain memperkukuh perkhidmatan teknikal dan penyelesaian nilai tambah bagi merangsang pertumbuhan jumlah jualan.
Sehubungan itu, lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 30 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, yang dijadual dibayar pada Jun 2026. Bersama dividen interim 12 sen sesaham yang telah dibayar pada 26 September 2025, jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan tersebut adalah 42 sen sesaham.
