KUALA LUMPUR- Tirai penyenaraian Malpac Holdings Bhd di Bursa Malaysia bakal dilabuhkan apabila syarikat itu dijadualkan dinyahsenarai pada 13 Januari 2026, menamatkan lebih 35 tahun kehadirannya di pasaran modal tempatan.
Keputusan itu dibuat selepas Bursa Malaysia Securities Berhad menolak rayuan Malpac untuk mendapatkan lanjutan masa tambahan selama 12 bulan bagi mengemukakan pelan regularisasi, sekali gus menutup peluang terakhir syarikat tersebut untuk mengekalkan status penyenaraiannya.
Dalam surat keputusan bertarikh 8 Januari 2026, Bursa Securities memaklumkan bahawa selepas meneliti semua fakta dan representasi bertulis syarikat, rayuan Malpac di bawah Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama telah ditolak. Susulan itu, sekuriti Malpac akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia selepas tamat tempoh dua hari pasaran, iaitu pada 13 Januari 2026.
Malpac sebelum ini memohon lanjutan tempoh pada 24 November 2025, hanya beberapa hari sebelum tarikh akhir asal pada 28 November 2025. Kegagalan mematuhi keperluan tersebut menyebabkan dagangan saham syarikat digantung bermula 9 Disember 2025. Keputusan nyahsenarai sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap rayuan berkenaan.
Gagal buktikan kemajuan material
Bursa Securities dalam suratnya menegaskan bahawa Malpac gagal menunjukkan kemajuan material ke arah pemuktamadan dan pengemukaan pelan regularisasi sejak lanjutan masa terakhir diberikan, walaupun syarikat telah menikmati tempoh hampir lima tahun 10.5 bulan sejak Pengumuman Pertama status PN17 pada 17 Februari 2020.
Antara faktor utama yang diambil kira Bursa termasuk:
Pembatalan kelulusan bersyarat Kebenaran Merancang (Susunatur) bagi projek Johor Bahru oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru; dan
Keperluan untuk mengemukakan semula KML serta menyemak Pelan Induk Pembangunan, yang dianggarkan memerlukan tambahan satu hingga dua tahun, sekali gus dianggap tidak sejajar dengan keperluan regularisasi segera.
Bursa turut menegaskan bahawa syarikat tersenarai perlu mempunyai tahap operasi yang mencukupi bagi memastikan integriti pasaran dan keyakinan pelabur terus terpelihara, dan pada pandangannya, masa serta peluang mencukupi telah diberikan kepada Malpac untuk menormalkan kedudukannya.
Sejarah panjang sebelum kejatuhan
Malpac memulakan perjalanan korporatnya sebagai firma pembrokeran saham sebelum disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Disember 1990. Pada 2001, kumpulan itu melupuskan perniagaan pembrokeran dan beralih ke sektor perladangan kelapa sawit.
Namun, hala tuju baharu itu terjejas susulan pertikaian undang-undang berpanjangan berkaitan penjualan ladang kelapa sawit miliknya di Teluk Intan, Perak, yang menghalang pengiktirafan hasil daripada aset berkenaan. Akibatnya, Malpac mencatatkan sifar hasil sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.
Keadaan itu membawa kepada pengkelasan Malpac sebagai penerbit tersenarai terjejas (PN17) pada Februari 2020, sekali gus mewajibkan pelaksanaan pelan penstrukturan semula bagi mengekalkan penyenaraian.
Terus wujud sebagai syarikat tidak tersenarai
Selepas nyahsenarai, Malpac akan terus wujud sebagai entiti tidak tersenarai dan masih boleh meneruskan operasi serta penstrukturan korporatnya. Namun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi diniagakan atau disebut harga di Bursa Malaysia, dengan kecairan yang amat terhad.
Walaupun begitu, Bursa menegaskan bahawa hak dan kepentingan pemegang saham kekal dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016.
Nyahsenarai ini menandakan penutup kepada satu lagi episod panjang syarikat PN17 di Bursa Malaysia, sekali gus mencerminkan pendirian tegas pengawal selia terhadap syarikat yang gagal memulihkan kedudukan kewangan dan operasi dalam tempoh munasabah.
Malpac Holdings Bhd kini dikuasai oleh dua pemegang saham utama, iaitu Lim Hong Liang dan Tan Chon Sing @ Tan Kim Tieng, yang secara bersama mengawal sebahagian besar struktur pemilikan syarikat tersebut. Sebelum ini, Advance Synergy Bhd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Datuk Ahmad Sebi Bakar, pernah menjadi pemegang saham substansial dalam Malpac selepas melupuskan pegangan sebanyak 6% bernilai RM3.96 juta. Walaupun Datuk Ahmad Sebi Bakar sering dikaitkan oleh laporan media tertentu sebagai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), namun penglibatan Advance Synergy tidak membawa kepada penyelamatan Malpac daripada nyahsenarai, apabila Bursa Malaysia tetap menolak rayuan syarikat itu atas kegagalan memenuhi keperluan pemulihan kewangan dan operasi.

