PETALING JAYA — Ahli Parlimen Padang Serai daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Azman Nasrudin, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi tujuan pertuduhan berkaitan projek fidlot melibatkan kerajaan negeri Kedah.
Menurut sumber, siasatan terhadap Azman telah berjalan sejak Februari 2025 susulan dakwaan bahawa beliau menerima kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek ternakan lembu (fidlot) di negeri itu.
“Kertas siasatan dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari 2025 dan siasatan terperinci telah dijalankan. Sehingga kini, seramai 15 saksi telah dirakam percakapan,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut. Beliau berkata, Azman diambil keterangan di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 sebelum dilepaskan dengan jaminan.
Difahamkan, SPRM sedang melengkapkan proses pendakwaan dan susulan lanjut dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
