
Bursa Malaysia menggantung aktiviti jualan singkat intra hari (IDSS) melibatkan 18 kaunter tersenarai selepas harga saham syarikat-syarikat berkenaan merosot lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan dalam dagangan hari ini, susulan jualan besar-besaran yang melanda pasaran tempatan.
Daripada jumlah itu, 13 kaunter telah digantung pada sesi pagi, manakala lima lagi menyusul selepas itu — mencerminkan tekanan jualan yang meluas merentasi pelbagai sektor.
Sebahagian besar kaunter yang terjejas adalah syarikat teknologi, termasuk UWC Bhd, Inari Amertron Bhd, Pentamaster Corporation Bhd, ViTrox Corp Bhd, Greatech Technology Bhd, Genetec Technology Bhd dan Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI). Selain itu, saham Guan Chong Bhd, Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT), EcoWorld Development Group Bhd, PMB Technology Bhd, NationGate Holdings Bhd dan Suria Capital Holdings Bhd turut dikenakan penggantungan IDSS.
Bagi sesi petang, lima lagi syarikat turut dikenakan tindakan sama iaitu Yinson Holdings Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd, Dialog Group Bhd, EcoWorld Development Group Bhd dan Dayang Enterprise Holdings Bhd.

Antara saham yang merekodkan penyusutan terbesar ialah UWC yang jatuh 20.6% kepada RM1.58, Pentamaster merosot 20.8% kepada RM1.98, Greatech susut 17.6% kepada RM1.17, dan MPI jatuh RM2.50 atau 16.4% kepada RM14.66.
Saham Yinson pula susut 35 sen kepada RM1.81, Hibiscus Petroleum turun 18 sen kepada RM1.45, Dialog jatuh 21 sen kepada RM1.23, EcoWorld susut 23 sen kepada RM1.60, dan Dayang Enterprise merosot 23 sen kepada RM1.56.
Aktiviti jualan singkat intra hari ini akan kembali dibenarkan bermula jam 8.30 pagi pada Selasa, 8 April 2025.
Tekanan Jualan Meluas
Kejatuhan harga saham hari ini dilihat sebagai lanjutan kepada sentimen negatif terhadap sektor teknologi sejak minggu lalu, terutamanya selepas timbul kebimbangan bahawa industri semikonduktor mungkin menjadi sasaran tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) pada masa hadapan.
Indeks Teknologi di Bursa Malaysia telah susut sebanyak 11.81% untuk ditutup pada 41.16 mata pada sesi pagi, hampir menghapuskan kenaikan 33% yang dicatatkan sejak awal 2024.
Secara keseluruhan, kelemahan pasaran saham tempatan sejajar dengan prestasi serantau yang lemah di tengah-tengah kebimbangan terhadap risiko perang perdagangan global yang semakin meningkat.
Sehingga penutupan dagangan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 60.34 mata atau 4.01% kepada 1,443.80 mata, berbanding 1,504.14 mata ketika ditutup pada Jumaat.
Sebanyak 1,274 kaunter mencatatkan kerugian berbanding hanya 164 kaunter untung, manakala 49 kaunter tidak berubah.
Selain itu, lima indeks utama di Bursa Malaysia turut mencatatkan penyusutan melebihi 1,000 mata pada sesi pagi, termasuk FBM 70 dan FBM Small Cap, masing-masing merosot 7.02% dan 7.21%.