
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan tenang ketika meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada jam 3.13 petang, Khamis.
Ahli Parlimen Bera itu menghabiskan kira-kira lima jam untuk memberi keterangan dan disoal siasat oleh pegawai penyiasat SPRM.
Ismail Sabri akan ke SPRM Putrajaya pada Jumaat bagi meneruskan rakaman percakapan.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.46 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam, diiringi kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut sempat melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu di pintu masuk SPRM sejak jam 8 pagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan sijil cuti sakit Ismail Sabri berakhir pada Rabu dan beliau diminta hadir bagi memberi keterangan susulan siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya.
Ismail Sabri kini disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM sebelum ini telah merekodkan keterangan daripada 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Apakah Ismail Sabri akan didakwa?