True Air Sdn Bhd atau SKS Airways Sdn Bhd yang kontroversi tahun 2023 akhirnya melingkup dan mengumumkan menamatkan operasinya selepas membuat pertimbangan teliti terhadap pelbagai faktor, termasuk cabaran dalam persekitaran kawal selia, kekangan operasi dan landskap penerbangan.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan yang dahulunya dikenali SKS Airways Sdn Bhd, berkata antara faktor yang diambil kira adalah kesedaran bahawa operasi penerbangan antara pulau menggunakan pesawat Twin Otter tanpa geran kerajaan bukanlah model perniagaan yang mampan.
“Pengendalian pesawat jet sebagai syarikat penerbangan permulaan juga terbukti mencabar, yang seterusnya menyumbang kepada keputusan sukar ini,” katanya.
Sejak penubuhannya, True Air berkata, ia komited untuk menyediakan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat dan boleh dipercayai, dengan usaha untuk menyumbang secara bermakna kepada sektor penerbangan Malaysia.
“Namun begitu, perubahan keadaan dan kerumitan industri telah memberikan cabaran yang menjadikan operasi syarikat tidak dapat diteruskan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, selaras dengan nilai integriti dan tanggungjawab True Air, syarikat itu akan memastikan proses penutupan operasi dijalankan secara teratur.
“Kami komited untuk memenuhi semua tanggungjawab, memastikan semua komitmen kewangan yang tertunggak dilunaskan sepenuhnya, dan tidak meninggalkan sebarang hutang.
“Kami ingin mengucapkan penghargaan yang mendalam kepada pekerja, pelanggan, rakan kongsi dan badan pengawal selia, khususnya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), atas bimbingan dan kerjasama mereka sepanjang operasi kami.
“Walaupun ini menandakan berakhirnya operasi True Air, kami tetap berbangga dengan sumbangan kami dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan selama bertahun-tahun. Kami berharap dapat terus menyokong ekosistem penerbangan Malaysia dalam kapasiti lain pada masa akan datang,” katanya.
SKS Airways rugi tidak mampu bayar pajakan pesawat RM3.9 bilion, Dzuleira CEO baharu letak jawatan
November thanun 2023 media melaporan SKS Airways Sdn. Bhd anak Syarikat SKS Group bergelut mendapatkan pembiayaan bagi membayar penghantaran 10 pesawat Embraer E195-E2 bernilai RM3.9b dan terpaksa menghentikan operasi penerbangan ke Pulau Tioman dan Pulau Redang.
Diasaskan oleh Alan Sim See Kiong dan Kumpulan ini pernah menguasai MB World Group Berhad yang dinyah senarai pada September 2020. Lembaga Pengarah Airways Sdn. Bhd merupakan antara Lembaga Pengarah MB World Group Berhad iaitu Sim See Kiong, Dato’ Haji Fahrul Rohman Hj Ahmad, Ng Pek Hung dan Dato’ Majid Manjit Abdullah. CEOnya Dzuleira Abu Bakar juga melepaskan jawatan disebalik kontroversi SKS Airways Sdn. Bhd
SKS Airways Sdn. Bhd berdepan masalah kewangan apabila tahun 2022 syarikat modal berbayar RM55 juta itu mencatatkan kerugian selepas cukai kira-kira RM20 juta. Ia berterusan sehingga tahun 2023