Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, bagaimanapun tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
“Faham, mengaku tidak bersalah,” kata Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Fadzarudin, yang mengenakan kot berwarna hitam.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd milik Vivy Yusof, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.
Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasangan suami isteri itu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.
“Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu yang turut menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan kes.
Istimewanya Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar
Sejak awal penyiasatan kes, Vivy Yusof dan Datuk Fadzarudin tidak pernah ditangkap dan direman mereka dibenarkan datang hari-hari ke pejabat SPRM beri keterangan.
Berbeza dengan kes lain semuanya melalui proses reman dan dipakaikan baju oren. Tetapi tidak buat Vivy Yusof dan suaminya
Malah pada hari dia dituduh di mahkamah Datuk Vivy dan suaminya tidakpun bermalam dilokap sepertimana dilalui Datuk Seri Najib, Zahid Hamidi, Rosmah Mansur, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin lain.
Apa sudah jadi? Ada SOP untuk individu berbeza -beza mengikut ‘kabel’, pangkat atau kedudukan?
Apakah ini cara baru dan sebagai precedent case SPRM tidak perlu lagi menangkap dan mereman ketika siasatan? Terutama kepada VVIP atau VIP.
Bukan itu sahaja Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin Timbalan Pendakwa Raya berkata, kesalahan Vivy dan suaminya tidak boleh dijamin namun kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.
“Oleh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan jumlah tersebut sangat munasabah dengan mengambil kira keseriusan kes ini.
“Kami berhak untuk meminta syarat tambahan dalam kes ini iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan ini amat serius dan ada flight risk (melarikan diri). Mereka boleh memohon untuk mendapatkan pasport sementara pada bila-bila masa dengan alasan munasabah.
“Kedua-dua tertuduh juga dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini kerana kebanyakan saksi terlibat dalam FashionValet,” kata Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.
Pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Khazanah dan PNB sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023 berbanding pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta.
Terlalu banyak misteri. Mengapa hanya Vivy Yusof?
Masih banyak persoalan berkait kes Fashion Valet tidak berjawab misalnya siapa pegawai MOF, Khazanah dan PNB meluluskan pelaburan itu ketika itu yang tahu Fashion Valet rugi dan membenarkan Fashion Valet membeli syarikat Vivy sendiri 30 Maple Sdn Bhd?
Persoalan lain pada disember 2023 siapa mengarahkan Khazanah menjual saham mereka miliki dengan harga murah hanya dengan harga RM3.1 juta kepada Syarikat NXBT Partners Sdn Bhd milik Afzal Abdul Rahim, CEO TIME dotCom Bhd? Penjualan itu menyebabkan Khazanah dan PNB rugi RM47 juta. Semua persoalan ini belum terjawab sehinggalah pendakwaan terhadap Vivy dan suaminya.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan PVivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar juga bakal didakwa dengan pertuduhan lain membabitkan penyalahgunaan dana awam di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dalam masa terdekat.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
“Ini sebagai notis awal kepada pihak pembelaan dan mahkamah. Bagaimanapun, hari ini kita akan meneruskan prosiding dengan satu tuduhan yang telah difailkan,” katanya.
Setakat ini, pihak pendakwaan masih belum mengesahkan tarikh spesifik bagi pendakwaan tambahan tersebut.