Public Bank Berhad (Public Bank) menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Estet Mendiang Tan Sri Teh Hong Piow (Estet) dan Consolidated Teh Holdings Sdn. Bhd. (ConTeh) untuk mengambil alih kira-kira 44.15 peratus kepentingan ekuiti dalam LPI Capital Berhad (LPI), dengan pertimbangan tunai RM1.72 bilion.
Jumlah tersebut berasaskan harga RM9.80 sesaham, diskaun lebih 24 peratus berbanding harga penutupan pasaran terkini LPI pada RM13.
LPI merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan terlibat terutamanya dalam taja jamin insurans am.
Ia kini mempunyai 21 cawangan di seluruh negara, satu di Singapura dan turut beroperasi di Kemboja melalui syarikat bersekutu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, cadangan pengambilalihan itu merupakan peluang strategik bagi pihaknya untuk mengembangkan segmen insurans amnya di pasaran tempatan.
“Ini juga selari dengan rancangan Kumpulan untuk berkembang bukan hanya secara organik, malah melalui pengambilalihan yang strategik untuk memperluaskan tawaran produk dan perkhidmatan seperti pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited baru-baru ini.
“Pengambilalihan Kumpulan LPI, sebuah syarikat insurans am terkemuka yang telah lama wujud di Malaysia, merupakan peluang jelas dan unik untuk kami memacu wawasan kami ke arah ‘Model Perbankan Universal’ yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan komprehensif di bawah kumpulan yang sama,” katanya.
Proses pengambilalihan tersebut dijangka selesai menjelang suku tahun pertama 2025 dan ia telah pun menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan, manakala Mesyuarat Agung Luar Biasa berhubung perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Sementara itu, anak perempuan bongsu mendiang Hong Piow, Diona Teh Li Shian turut mengumumkan bahawa Estet and ConTeh berhasrat untuk membuat tawaran terhad bagi penjualan (ROFS) satu bahagian daripada saham Public Bank, secara progresif dalam tempoh lima tahun, seiring Akta Kewangan dan Perkhidmatan.
“Bapa saya sering memberitahu bahawa kejayaan Public Bank bukanlah kejayaan beliau secara individu, ia dibina atas kepercayaan dan kesetiaan para pemegang saham serta komitmen berterusan kakitangan, atau apa yang beliau panggil sebagai ‘keluarga korporat’ beliau.
“Sebagai menghormati legasi beliau dan tanda penghargaan serta terima kasih, kami akan melaksanakan eksesais untuk mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal dalam genggaman mereka yang sentiasa memastikan pertumbuhan dan kejayaannya sejak dahulu,” ujarnya
Tambah beliau, buat masa ini, tiada sebarang perancangan dari pihak keluarganya untuk menyertai Lembaga Pengarah atau menjadi sebahagian daripada kepimpinan tertinggi Public Bank.