Pendedahan berterusan page Scam No One – Pseudoscience Watch dan Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS Malaysia) mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) akhirnya bakal meruntuhkan gerakan terancang dari sebuah ajaran Sesat Al Arqam Abuya Ashaari yang kini dihidupkan semula dalam bentuk syarikat dan juga beberapa pertubuhan.
Video-video Pengerusi GISB Nasiruddin Ali orang kanan Abuya Ashaari menyebar doktrin Abuya tidak mati terus membongkar elemen-elemen menjual agama menggunakan syarikat. Bukti GISB itu pengganti kepada Al Arqam.
Tidak dinafikan GISB Holdings Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya tampil sebagai syarikat global yang berjaya. Melabur di 17 negara, tanpa sebarang pinjaman bank tentulah pencapaian luar biasa. Lebih 5000 pekerja GISB bukan calang perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif GISB sebelum ini ialah Dato’ Lokman Hakim Pfordten berusaha mengikis imej GISB sebagai sayap perniagaan Al-Arqam dan fokus kepada mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat antarabangsa namun Pengerusinya Nasiruddin Ali dilihat membawa kembali aliran ajaran sesat Al Arqam itu.
Sehingga hari ini Dato’ Lokman Hakim Pfordten kekal sebagai pemegang saham terbesar GISB.
Jika melihat kedudukan GISB kedudukan perniagaan mereka masih kukuh dalam negara dan seluruh dunia mencakupi pelbagai sektor perniagaan seperti pendidikan, kewangan, multimedia, komunikasi, pertanian, restoran, peruncitan, penternakan, kesihatan, sukan, sumber manusia, pengilangan, pelancongan dan lain-lain lagi.
GISB Holdings Berhad merupakan syarikat induk. Bagaimanapun semakan menunjukkan GISB Holdings yang berniaga global seluruh dunia menipu untung rugi syarikat ini. Bagaimana mereka mengumumkan sebagai tidak punya revenue dan rugi RM137 ribu.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar menyiasat syarikat GISB Holdings Sdn Bhd dan anak syarikatnya. Apakah anak syarikat untung tetapi syarikat induk diisytiharkan rugi bagi mengelakkan daripada cukai.
GISB AJARAN SONGSANG
Banyak aduan ajaran sesat akidah menyimpang, perhambaan seks dan penganiayaan kanak-kanak akhirnya mengheret GISB.
Terbaru Polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
Beliau berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
“Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang semalam
Yang turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Nor Hisam Nordin.
Razarudin berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki bahawa ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Kanak-kanak dan wanita didera mental serta didoktrin menjadikan Pengerusi GISBH pemimpin utama. Taat kepada CEO.
Menghuraikan sejarah perjalanan GISBH, Razarudin berkata, operasi kumpulan itu sudah melebihi 10 tahun selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selepas pengharaman Darul Arqam, katanya, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disususli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.
Turut mendedahkan modus operandi GISBH yang diperoleh berdasarkan risikan polis dan kenyataan mangsa, beliau berkata, mangsa mendakwa diajar, dididik untuk meliwat dan seterusnya diliwat oleh penjaga serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
“Ini daripada risikan serta percakapan yang kita rakam. Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal,” katanya menambah unsur eksploitasi agama juga dipercayai digunakan untuk menarik simpati dan sumbangan luar.
Menurut Tan Sri IGP terdapat juga dakwaan kanak-kanak didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila melakukan kesilapan.
Sehubungan itu, katanya, polis sudah membuka empat kertas siasatan dan satu daripadanya sudah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan pertuduhan.
“Pertuduhan atas satu kertas siasatan ini adalah mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Lain-lain siasatan yang sudah dibuka adalah mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan) dan beberapa seksyen lain,” katanya.
Siasatan menyeluruh pasti akan menangkap Pengerusi/CEO GISB dan semua pemimpin GISB terlibat. LHDN juga wajar menyiasat semua pendapatan dan pembayaran cukai GISB.
Setakat ini semua 171 individu yang ditahan dalam Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes eksploitasi 402 kanak-kanak dari 20 rumah amal di dua negeri berkenaan.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi melengkapi siasatan serta tindakan susulan ke atas semua mangsa terbabit.
Namun terdapat pihak yang menyebelahi dan melindungi GISB seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendapat bantuan kewangan daripada GISB. Datuk Nadzim Johan tahu kesesatan dan kekejaman GISBH. Mengapa PPIM menyokong kesesatan. Hakikatnya ramai orang Islam yang teraniaya menjadi hamba, didera, masih mengamal ajaran sesat, dan terlibat dengan penipuan sumbangan orang ramai melalui sindiket rumah amal. Malah ada individu seperti Dr Izham Nayan Guru Makrifat Batiniah Sesat memperalatkan PPIM bagi tujuan perniagaan.