Setiausaha Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF), Jabatan Perdana Menteri Dato’ Azlan Johar, bersama pegawai khas dan pemandunya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.
Ketiga-tiga mereka ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
Dato’ Azlan Johar, 50 yang bertanggungjawab mengawal selia FELDA merupakan pegawai penting di Jabatan Perdana Menteri.
Azlan Johar dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada FELDA.
Beliau kemudiannya berpakat dengan pegawai FELDA dan mengeluarkan wang peruntukan berkenaan secara tunai bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudian digunakan untuk keperluan peribadi.
Berikutan itu, Dato’ Azlan dan pegawai khasnya ditahan untuk siasatan lanjut serta direman manakala seorang lagi iaitu pemandunya dibebaskan dengan jaminan SPRM.
“Suspek bergelar Datuk direman empat hari sehingga Jumaat ini, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an direman dua hari sehingga esok.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.