Saham YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd terjejas hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta maklumat daripada anak syarikat YTL Power, YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) berhubung Projek 1Bestarinet.
YTL Power mengesahkan perkara itu semalam, sambil menambah YTL Comms memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, dan menyatakan kepercayaan bahawa perkara itu akan diselesaikan dengan memuaskan.
Pada 12.30 tengah hari tadi, saham YTL jatuh 23 sen kepada RM2.77 manakala YTL Power susut 18 sen kepada RM3.71.
Laporan media menyebut ‘penyiasatan tertumpu kepada ‘tuntutan membabitkan butiran matan palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion’.
Menurut YTL Power, Projek 1Bestarinet telah dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011 oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
1Bestarinet Projek gagal
Bagaimanapun dalam sebuah laporan portal tempatan melaporkan YTL meletakkan harga terlalu tinggi menyebabkan YTL mengaut keuntungan mudah sebanyak RM300 juta setahun hanya dengan membekalkan perkhidmatan talian internet pada tahap sekadarnya kepada makmal komputer sekolah-sekolah di seluruh negara. Keuntungan YTL dengan pulangan 21,350%.
Tidak cukup dengan harga terlalu tinggi (berbanding kadar caj khidmat jalur lebar biasa), sekolah-sekolah terbabit juga dibekalkan dengan khidmat jalur lebar 30Mbps melalui rangkaian khusus, dengan alasan untuk mengekalkan talian agar sentiasa bersambung, pada kadar caj yang amat mahal iaitu RM19,000 sebulan, semata-mata untuk makmal komputer sekolah sahaja.
Kontrak fasa ke-2 yang berjumlah lebih daripada RM1.5 bilion untuk tempoh 3 tahun, sentiasa menjadi rahsia YTL dengan Kementerian, dengan bantuan klausa dalam kontrak yang menyatakan bahawa pendedahan tentangnya akan memberi kesan terhadap rahsia negara.
Namun hakikatnya Kerajaan rugi dengan perkhidmatan YTL yang terburuk.
Susulan itu pada 30 Jun 2019 kontrak YTL tamat dan tidak disambung. Dr Maszlee Malik Menteri KPM ketika itu tidak mahu menyambungnya tetapi membuka ruang 6 bulan tempoh interim kepada tiga syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn Bhd mulai 1 Julai 2019.
Dalam tempoh itu, KPM memilih ISP baharu bagi tempoh bermula dari 1 Januri 2020, selepas melakukan penilaian dan penambahbaikan yang perlu.
Susulan tindakan KPM itu, YTL dalam satu kenyataan yang dilaporkan portal Malaysiakini ‘menyerang’ KPM kononnya melanggar obligasi kontrak serta berlaku tidak adil kepada YTLC apabila mengupah tiga pembekal tanpa tender.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan pihaknya melanggar kewajipan kontrak berhubung penamatan kontrak YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) sebagai penyedia perkhidmatan 1BestariNet.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas ketika itu berkata berdasarkan perjanjian, kontrak perkhidmatan YTLC telah tamat pada 30 Jun 2019, dan bukannya ditamatkan KPM.
Menurutnya, YTLC diberi kontrak 1BestariNet Fasa 1 bagi tempoh 13 Dis 2011 hingga 30 Jun 2016, termasuk lanjutan kontrak sebanyak tujuh kali sebelum kontrak fasa kedua yang bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019.
Perkhidmatan YTLC ditolak kerana terdapat kos tersembunyi kerana KPM terpaksa menanggung kos caj elektrik sebanyak RM41,881,384.98 melibatkan 2,715 tapak menara telekomunikasi sedangkan hakikatnya ia perlu dibayar syarikat tersebut.
YTLC tidak pernah membayar caj elektrik struktur menara telekomunikasi yang dipasang di sekolah sejak Kontrak Perkhidmatan 1Bestarinet Fasa 2 bermula sehingga 2019.
Laporan Ketua Audit Negara juga telah membuat teguran berkaitan caj elektrik supaya kos tersebut ditanggung oleh YTLC kerana menara telekomunikasi yang dipasang adalah juga untuk tujuan komersial selain untuk kegunaan sekolah.
Kerajaan juga berpotensi kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi sebanyak RM32,580,000 setahun jika khidmat YTLC diteruskan.
Justeru penamatan kontrak YTL dilihat sangat tepat mengelak kerajaan berbelanja besar dan merugikan rakyat.
Projek 1Bestarinet dikaitkan sebelum ini dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bekas Menteri Pendidikan bersama Datuk Adlan Berhan menantunya yang kiri melarikan diri kerana kes rasuah Projek NiiSe bawah Iris Corporation Bhd yang juga telah ditamatkan kontrak. Adlan Berhan kini melarikan diri ke Australia selepas diburu SPRM.