Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan peguam, Rosli Dahlan untuk kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar perintah sitaan empat akaun banknya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas memutuskan bahawa perintah sitaan empat akaun akaun Amanah Saham Nasional Berhad milik Rosli, adalah sebahagian daripada siasatan polis.
Wan Ahmad Farid yang membacakan keputusan beliau berkata, tiada bukti yang dikemukakan di mahkamah tinggi itu yang menunjukkan bahawa siasatan sama ada terhadap pelaku utama atau pemohon (Rosli), sudah selesai.
Hakim itu berkata, oleh itu adalah terlalu awal bagi mahkamah membuat kesimpulan seperti yang dimohon oleh pemohon, bahawa tindakan responden (polis dan kerajaan) tercemar dengan mala fide (niat jahat) bagi mewajarkan kebenaran bagi semakan kehakiman diberikan kepadanya.
Katanya, sebaliknya untuk mengubah perintah sitaan berdasarkan kepada siasatan yang tidak lengkap akan mempunyai implikasi yang meluas.
“Ia boleh menghalang dan melambatkan proses siasatan itu, tetapi ini tidak bermakna pemohon bersalah, tidak sama sekali. Pemohon belum didakwa di mana-mana mahkamah dan persoalan sama ada beliau bersalah, tidak timbul sama sekali.
“Saya tidak fikir bahawa mahkamah ini boleh campur tangan pada peringkat ini. Terdapat kemungkinan bahawa pemohon akan dilepaskan apabila siasatan selesai.
“Begitu juga tiada sebarang dakwaan bahawa Timbalan Pendakwa Raya bertindak dengan niat jahat ketika melaksanakan kuasanya mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) ketika mengeluarkan perintah sitaan berkenaan,” katanya.
Rosli memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada April lalu, yang antara lainnya memohon mahkamah membatalkan perintah sitaan itu dan mengarahkan PDRM mendedahkan alasan yang menyebabkan perintah terbabit dikeluarkan.
Beliau menamakan lima pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Seri Ramli Mohammed Yoosuf; PDRM; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Pada 3 April lalu, Rosli berjaya memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar tindakan polis yang didakwa menahannya secara salah dan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia yang menyekat perjalanannya.