YTL Corporation Bhd (YTL Corp) menerusi anak syarikatnya YTL Cement Bhd telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan 98 Holdings Pte Ltd untuk cadangan pembelian saham dalam NSL Ltd pada harga S$227.61 juta (kira-kira RM792.32 juta) secara tunai.
YTL Corp dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata SPA itu melibatkan cadangan pembelian 303.48 juta saham dalam NSL, mewakili kira-kira 81.24 peratus kepentingan ekuiti.
“Cadangan pembelian berkenaan memberikan peluang unik untuk pengembangan YTL Corp menerusi YTL Cement dan anak syarikatnya terlibat dalam sektor sistem bangunan perindustrian di Malaysia, Dubai, Finland dan Singapura.
“Ia juga memudahkan pengembangan perniagaan perkhidmatan alam sekitar YTL Cement ke Singapura melalui perniagaan perkhidmatan alam sekitar NSL di negara itu dengan kelebihan sinergi,” katanya.
Selain itu, SPA bersyarat itu akan berlangsung pada 10 hari waktu bekerja selepas memenuhi syarat duluan menerusi ‘married deal’ (pemindahan unit atau saham dipersetujui antara dua pihak) di Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX-ST).
Sementara itu, selepas selesai cadangan pembelian berkenaan, YTL Cement atau anak syarikatnya akan menjadi pemilik saham yang dijual itu, mewakili atau 81.24 peratus daripada jumlah modal diterbitkan dan berbayar NSL.
Di bawah Kod Singapura mengenai Pengambilalihan dan Penggabungan (Kod) serta Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan 2001 Singapura (SFA), YTL Cement dikehendaki membuat tawaran tunai tanpa syarat mandatori untuk saham tawaran pada harga tawaran S$0.75 (bersamaan dengan RM2.61) harga sesaham NSL, iaitu harga yang sama jualan harga sesaham di bawah cadangan pembelian berkenaan.
“Walaupun tawaran mandatori yang dicadangkan akan dilaksanakan menurut keperluan Kod dan SFA, ia juga memberi peluang kepada YTL Cement untuk meningkatkan lagi pegangan sahamnya dalam NSL selepas selesai cadangan pembelian itu,” katanya.