Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pengenaan cukai umum untuk keuntungan atau kerugian urus niaga daripada pelupusan mata wang digital adalah bergantung sama ada bersifat modal atau hasil.
Menurut agensi berkenaan, keuntungan atau kerugian daripada pelupusan mata wang digital yang bersifat hasil atau perdagangan akan dikenakan cukai atau boleh dibenarkan sebagai potongan.
“Sebaliknya, keuntungan atau kerugian pelupusan mata wang digital yang bersifat modal adalah tidak dikenakan cukai atau dibenarkan potongan.
“Penentuan sama ada keuntungan atau kerugian daripada pelupusan mata wang digital boleh dikenakan cukai atau boleh dibenarkan sebagai potongan adalah berdasarkan Petunjuk Perdagangan seperti motif mencari keuntungan, sifat aset, tempoh pemilikan, kekerapan transaksi, kerja tambahan, cara pembiayaan, keadaan-keadaan realisasi dan juga faktor-faktor lain,” katanya kepada BH, baru-baru ini.
LHDN baru-baru ini dilaporkan mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang terbabit dalam transaksi perdagangan mata wang kripto bagi mengurangkan ketirisan hasil cukai serta menambah baik pentadbiran cukai negara.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, dilaporkan berkata pihaknya sedang menyemak semula data pihak terbabit bagi menentukan nilai cukai yang mungkin dikenakan berikutan kekerapan transaksinya yang tinggi.
Mengulas lanjut LHDN berkata, antara langkah pihaknya untuk mengesan keuntungan mata wang kripto ini adalah menerusi aktiviti penguatkuasaan melalui audit dan siasatan, kerjasama bersepadu dengan agensi penguat kuasa, pelaksanaan e-Invois, Nombor Pengenalan Cuka, pemantauan secara harian di platform media sosial dan e-dagang, aktiviti ‘nudging’, aktiviti AES yang berterusan dan pelantikan Rakan Strategik LHDN.
“LHDN sentiasa komited dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil cukai bagi perdagangan mata wang kripto dan menambah baik pentadbiran cukai negara. Berdasarkan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, kebolehcukaian ke atas urus niaga mata wang digital di Malaysia telah digariskan di bawah Seksyen 3.
“Menyentuh soal ini, ingin dimaklumkan bahawa asas pengenaan cukai masih tertakluk kepada apa-apa penerimaan pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima dari luar Malaysia bagi setiap tahun taksiran oleh individu,” katanya.
Tambah agensi berkenaan, dalam usaha mengatasi ketirisan cukai daripada aktiviti perdagangan mata wang kripto, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan beberapa siri Operasi Pematuhan Khas dan terkini adalah Ops Token dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity
Malaysia (CSM) bagi mengenal pasti hasil keuntungan kegiatan perdagangan yang dijana serta nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan.
“Menerusi Ops Token ini, data-data perdagangan mata wang kripto yang disimpan dalam peranti mudah alih dan komputer telah berjaya diperoleh bagi mengenal pasti nilai aset digital yang didagangkan sehingga menyebabkan ketirisan hasil cukai yang amat signifikan.
“Data yang diterima akan dianalisa secara terperinci bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan ini sekali gus mengenal pasti nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN.
“Tindakan operasi ini juga menemui beberapa entiti syarikat dan perkongsian liabiliti terhad sengaja diwujudkan untuk menjadi pengantara kepada transaksi perdagangan mata wang kripto tersebut semata-mata bagi mengelakkan pelaporan cukai,” katanya.
Jelasnya, selain daripada pelaksanaan operasi terbabit, LHDN juga giat mengambil
langkah-langkah berikut bagi membendung aktiviti pengelakan pelaporan
cukai yang dijana dari perdagangan mata wang kripto.
“Menjalankan tindakan audit cukai ke atas syarikat yang berkait dengan aktiviti mata wang kripto. Meningkatkan kesedaran kepada syarikat dan orang ramai berhubung percukaian keatas aktiviti mata wang kripto.
“Pemantauan berterusan terhadap perkembangan aktiviti mata wang kripto di pasaran dan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi luar bagi mendapatkan
maklumat berkaitan transaksi mata wang kripto.
“Mulai tahun 2027, Malaysia adalah antara 48 negara yang akan melaksanakan OECD’S Crypto Asset Reporting Framework (CARF). Rangka kerja ini akan memperuntukkan pelaporan maklumat cukai ke atas urus niaga mata wang kripto sebagai sebahagian dari pelaporan maklumat ‘Common Reporting Standard’ (CRS) sedia ada yang dikongsikan dalam kalangan 48 negara yang terbabit,” katanya.