Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil dilihat sebagai pejuang alam sekitar melalui NGO PEKA. Sikapnya menuduh dan menyalahkan Kerajaan Negeri Pahang mengenai isu alam sekitar mengundang kemarahan kerajaan. Namun akhirnya kantoi bila kerajaan negeri mendakwa beliau menduduki tanah kerajaan secara tidak sah. Tanah terlibat didakwa dijadikan resort dan untuk aktiviti perniagaan oleh Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort. Semuanya kepentingan dan keuntungan
keluarganya bukan milik rakyat
Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menegaskan tiga pertuduhan terhadapnya yang didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran dibuat secara mala fide (niat jahat).
Aktivis alam sekitar itu berkata demikian dalam notis usulnya untuk menggugurkan tiga pertuduhan jenayah itu di Mahkamah Tinggi Temerloh dua hari lepas.
Pada 15 Mac 2022, Shariffa Sabrina dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub terhadap tiga pertuduhan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di atas tiga lot tanah di daerah itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Jun tahun sebelumnya.
PERTAMA, tertuduh yang juga pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135, Mukim Bentong, iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong pada jam 2 petang, 11 Jun tahun lalu.
KEDUA, dia didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053, Mukim Ulu Dong, iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub pada jam 2 petang, 10 Jun tahun lalu.
KETIGA pula, dia didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572, Mukim Tras, iaitu kawasan yang ketika ini diduduki Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort, Raub.
Tanah terlibat didakwa dijadikan resort dan untuk aktiviti perniagaan oleh Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.
Menurut Shariffa Sabrina pihak pendakwaan gagal mempertimbangkan bahawa mahkamah tinggi Temerloh telah membatalkan keputusan pejabat daerah dan tanah Raub (bertarikh 17 feb 2022) yang menolak permohonan Tanah Aina menduduki tanah sementara itu.
Aktivis alam sekitar berusia 62 tahun itu berkata pertuduhan terhadapnya cacat kerana pihak pendakwaan mengetahui status tanah berkaitan Tanah Aina, sekali gus melanggar Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).
Shariffa Sabrina mendakwa pihak pendakwaan mempunyai pengetahuan bahawa permohonan dan kelulusan terdahulu bagi lesen pendudukan sementara adalah dipohon dan diluluskan di atas nama Tanah Aina Sdn Bhd dan bukan olehnya.
Sharifaa Sabrina menegaskan bahawa pertuduhan itu cacat kerana seksyen 428AA KTN jelas menyatakan bahawa sekiranya suatu kesalahan dilakukan oleh sesebuah syarikat, syarikat tersebut seharusnya dituduh dan bukannya pengarah syarikat sahaja.
“Tindakan Responden untuk memilih untuk memfailkan pertuduhan- pertuduhan tersebut terhadap Pemohon sahaja dan bukannya Tanah Aina Sdn Bhd atau penama lain dalam syarikat jelas menunjukkan ‘mala fide’ Responden untuk memprejudiskan hak asasi Pemohon seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menerusi notis usul dia memohon tiga pertuduhan jenayah itu digantung secara kekal dan sebagai alternatif untuk ia dibatalkan.
Persoalan
Satu persoalan yang timbul dengan mendakwa pertuduhan- pertuduhan tersebut hanya terhadapnya bukannya Syarikat Tanah Aina Sdn Bhd, sedangkan penama syarikat itu adalah anaknya Shariffa Fareena bin Syed Mohd Yusof, Shariffa Farrah Soraya Syed Mohd Yusof dan Shariffa Farhana Syed Mohd Yusof apakah Puan Sri Shariffa Sabrina mahu anak-anaknya dalam syarikat didakwa sekali?
Umum mengetahui Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka) isteri Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir ahli perniagaan terkenal Hard Rock Cafe, Concorde Hotel and Nobu ini sering mengkritik kerajaan negeri dengan isu alam sekitar. Dedah pembalakan dan projek peranginan menjejaskan alam sekitar namun beliau sendiri menceroboh tanah kerajaan dengan binaan di kawasan sungai perniagaan untuk keluarganya. Bukan milik Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun terdapat aduan pada jun 2021 oleh Haslihelmy DM Zulhasli dan Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mendesak kerajaan negeri Pahang supaya segera menyiasat tentang sebuah resort tepi sungai yang dibuka di Raub yang dilihat dibuka berdekatan dengan sungai di Raub untuk tujuan perniagaan keuntungan peribadi yang boleh menjejaskan alam sekitar.
Menurut aduan itu adakah wujud pelanggaran syarat-syarat tanah, pencerobohan tanah milik kerajaan atau lain-lain kesalahan termasuk membabitkan alam sekitar. Katanya tidak adil individu berkenaan boleh membuka resort itu jika ada kesalahan dilakukan. Apakah kerana dia kerabat atau orang kayangan maka boleh menceroboh tanah kerajaan.
Sekian lama menghentam kerajaan atas nama NGO dan menggunakan alasan alam sekitar akhirnya isteri Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir ahli perniagaan terkenal Hard Rock Cafe, Concorde Hotel and Nobu didakwa di mahkamah 15 Mac 2022. Kes ini masih berpanjangan hingga kini dan Puan Sri Shariffa berusaha membatalkan pertuduhan terhadapnya secara teknikal.
Shariffa Sabrina menggunakan peguam dari firma guaman Raj & Sach.
Pada penghujung Mac 2024 Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menutup laluan parking ke Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant. Sejak itu Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil merayu meminta kerajaan negeri itu untuk mempertimbangkan rayuannya serta memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan. Tindakan ini menyebabkan pemilik Cafe Tana Aina bengang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang kerana kesalahan pihak berkenaan menggunakan tanah kerajaan sebagai parkir di restoran terabit.
Mengulas tindakan dikenakan UPNP terhadap Tanah Aina Fareena. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana warganegara terutama rakyat Pahang untuk mengemukakan rayuan, mahupun membuat permohonan tanah.
“Rayuan, mohon tanah semua boleh. Kita tidak halang warganegara terutama rakyat negeri Pahang untuk membuat rayuan dan mohon tanah.
“Kemudian terpulang kepada pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan, sama ada meluluskan atau tidak,” katanya
Sultan Pahang sokong UPNP
Bagaimanapun pada mei lalu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) supaya tidak gusar atau takut serta terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Baginda bertitah, penguatkuasaan itu membabitkan aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan.
“Beta berbangga dengan usaha kerajaan negeri yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.
“Beta dimaklumkan pada 2023, sejumlah RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.5 juta, malah terdapat 15 kes dibawa ke muka pengadilan.
“Malah beta dimaklumkan pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan.
“Sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah syabas dan tahniah atas tindakan yang tegas ini,” titahnya.
Apakah kesudahan kes Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ini?