Berjaya Food Bhd (BFood) mencatat kerugian bersih berjumlah RM29.76 juta pada suku ketiga (S3) berakhir 31 Mac 2024, berbanding untung bersih RM15.94 bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan pengendali rangkaian kopi premium, Starbucks susut hampir separuh kepada RM138.65 juta selepas berdepan kempen boikot yang berterusan berikutan konflik di Asia Barat.
“Pendapatan yang jauh lebih rendah dan kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku dikaji adalah disebabkan terutamanya oleh sentimen semasa berhubung konflik di Asia Barat,” kata BFood dalam satu kenyataan.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, BFood mencatatkan keuntungan bersih RM53.31 juta, merosot berbanding RM86.13 juta yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan itu melaporkan pendapatan RM599.74 juta dan kerugian sebelum cukai RM44.65 juta berbanding pendapatan berjumlah RM844.22 juta.
Penurunan pendapatan dan kerugian sebelum cukai itu juga disebabkan kerugian sekali sahaja daripada pelupusan kepentingan ekuiti entiti kumpulan dalam Jollibean Foods Pte Ltd.
“Tidak termasuk perbelanjaan berkaitan pelaburan luar biasa, kerugian sebelum cukai adalah RM34.15 juta dalam tempoh semasa yang dikaji,” katanya.
Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku dikaji.
“Lembaga pengarah berpendapat bahawa prestasi operasi perniagaan syarikat akan bertambah baik secara beransur-ansur sepanjang baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024,” tambahnya.
Pada tahun 2023, Berjaya Food Bhd (BFood) mengumumkan kerugian pada suku kedua berakhir 31 Disember 2023, dengan kerugian bersih sebanyak RM42.58 juta berbanding dengan keuntungan bersih RM35.49 juta pada suku sama pada tahun 2022.
Ketika itu pendapatan kumpulan merosot 38 peratus kepada RM182.55 juta daripada RM295.32 juta sebelumnya.
April lalu terlalu terdapat desas desus Taikun Malaysia Tan Sri Vincent Tan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Berjaya Food Bhd, yang disenaraikan di Kuala Lumpur, sebagai syarikat persendirian.
Tan sedang berbincang dengan bank-bank mengenai pembiayaan untuk potensi perjanjian ini, kata sumber-sumber tersebut. Saham Berjaya Food, yang memiliki 100% operasi Starbucks Corp di Malaysia, telah jatuh kira-kira 28% dalam setahun yang lalu, memberikan nilai pasaran sebanyak USD 229 juta (RM 1.09 bilion).