Wong Jit Kiang atau Daniel Wong yang diburu pihak berkuasa selama 15 tahun bersembuyi di luar negara ditahan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sekembalinya dari Singapura.
Daniel Wong yang diburu dengan dua waran tangkap tahun 2009 dan 2019 akhirnya didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan bersubahat melakukan penipuan sebanyak RM17.6 juta pada 2007.
Penahanan Daniel Wong dibuat dengan bantuan Interpol, Jabatan Hal Ehwal Komersial Pasukan Polis Singapura (CAD Singapura) dan Keselamatan Penerbangan Lapangan Terbang Malaysia.
Pertuduhan itu dilakukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Wong Jit Kiang atau Daniel Wong di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan bersubahat dengan bekas pengarah urusan mendiang Gordon Toh Chun Toh menipu syarikat Multi-code Electronics Industries (M) Bhd (Multi-Code) dengan menggunakan RM17.552,275.20 juta daripada dana Multi-Code antara 26 dan 28 Mac 2007 untuk membiayai pembelian 11.1 juta saham Multi-Code oleh Ace Prelude Sdn Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kenanga Investment Bank Berhad, Taman Pelangi, Johor Bahru antara 26 dan 28 Mac 2007.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dibaca bersama Seksyen 87A(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 88B akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Hashley Tajudin tidak menawarkan jaminan kerana ia kesalahan yang tidak boleh dijamin namun peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin mewakili Jit Kiang memohon jaminan rendah kerana anak guamnya diisytiharkan muflis selain mempunyai penyakit jantung.
“Saya mohon mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya jaminan dibenarkan, saya mohon satu jaminan yang tidak membebankan dengan mengambil kira faktor usia tertuduh dan beliau juga seorang yang bankrup,” kata peguam.
Hakim Azrul Darus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.